Isnin, 25 Mei 2020 | 7:30pm
Skrin besar di tengah Tokyo menyiarkan sidang media di mana Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, menumumkan perintah darurat akibat COVID-19 ditarik balik. - Foto AFP
Skrin besar di tengah Tokyo menyiarkan sidang media di mana Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, menumumkan perintah darurat akibat COVID-19 ditarik balik. - Foto AFP

Jepun berjaga-jaga tarik balik darurat COVID-19

Tokyo: Jepun menarik balik pengisytiharan darurat COVID-19 hari ini dan membuka semula ekonomi ketiga terbesar di dunia itu secara berperingkat, namun tetap berjaga-jaga bagi mengelakkan gelombang baharu.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, melalui sidang berita yang disiarkan di televisyen, menegaskan kriteria yang sangat ketat dipatuhi untuk menarik balik perintah darurat dengan memenuhi semua penilaian.

Berbanding dengan kawasan yang terjejas teruk di Eropah, Amerika Syarikat (AS), Russia dan Brazil, Jepun terselamat daripada keadaan itu apabila hanya merekodkan 16, 581 jangkitan termasuk 830 kematian.

Namun, pada 7 April lalu, kes COVID-19 mula meningkat dan menyebabkan ketakutan pada sistem kesihatan negara, memaksa Abe mengisytiharkan darurat di Tokyo dan enam wilayah lain sebelum meluaskannya ke seluruh negara.

Sektor perniagaan serta sekolah digesa ditutup dan rakyat diminta kekal di rumah, namun pendekatan Jepun jauh lebih berlembut berbanding sebahagian negara lain kerana tiada hukuman dikenakan kepada mereka yang melanggar arahan itu.

Susulan itu, jumlah jangkitan baharu menurun daripada jumlah tertinggi iaitu kira-kira 700 sehari kepada hanya dua angka di seluruh negara.

Pengisytiharan darurat ditarik balik di beberapa negeri minggu lalu, namun kerajaan memilih untuk menunggu lagi sebelum melaksanakannya di ibu negara dan sekelilingnya selain kawasan yang dilanda teruk di utara Hokkaido.

Abe memuji Jepun berikutan kejayaan meratakan lekuk, dan menyatakan bahawa negara itu berjaya menunjukkan kekuatan yang dipanggil 'model Jepun'.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa rakyat harus menyesuaikan dengan keadaan normal baharu dan terus mengelakkan tiga C iaitu 'closed, congested, close contact atau ruang tertutup, kawasan sesak dan kontak rapat.

"Jika kita kurang berhati-hati, jangkitan akan tersebar dengan cepat....kita harus waspada.

"Kita juga perlu mencipta cara hidup baharu dan daripada sekarang, kita harus menukar cara pemikiran masing-masing, " katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X