Selasa, 26 Mei 2020 | 7:44am
Pemandangan udara menunjukkan Jalan King Fahad di bandar raya Riyadh, Arab Saudi kosong berikutan perintah berkurung yang dikuat kuasa bermula Ahad lalu ketika umat Islam menyambut Aidilfitri. - Foto AFP
Pemandangan udara menunjukkan Jalan King Fahad di bandar raya Riyadh, Arab Saudi kosong berikutan perintah berkurung yang dikuat kuasa bermula Ahad lalu ketika umat Islam menyambut Aidilfitri. - Foto AFP

COVID-19: Arab Saudi longgarkan perintah berkurung mulai Khamis

RIYADH: Arab Saudi akan mula melonggarkan arahan perintah berkurung bagi memutuskan rantaian COVID-19 bermula Khamis ini.

Menteri Kesihatan, Tawfiq Al-Rabiah mengatakan tindakan itu akan dilakukan secara bertahap dan akan bergantung pada laporan statistik penyebaran virus tersebut.

Fasa pertama akan dimulakan dengan peningkatan kapasita untuk melayani "pesakit kritikal" dan fasa kedua akan merangkumi ujian COVID-19 yang diperhebatkan dan pengesanan awal.

Bercakap dalam sidang media pada Isnin, Menteri Kesehatan mengatakan bahwa rakyat negara itu sudah menunjukkan 'banyak tanggungjawab dalam mempraktikkan penjarakan sosial'.

"Setelah lima bulan sejak wabak itu dikesan, di mana sistem kesihatan global menghadapi kesulitan besar untuk menanganinya, masyarakat hari ini menjadi lebih sedar mengenai virus ini dan menerapkan langkah penjarakan sosial, kerana ini adalah pengalaman baharu untuk semua dari kita," katanya dalam kenyataan yang dipetik oleh agensi berita Saudi Press.

Rabiah mengatakan, melakukan tindakan pencegahan lebih awal pandemik COVID-19 membolehkan kerajaan mengawal penyebaran virus berkenaan.

"Kita bangga dengan pakar yang kita ada dalam bidang ini yang diakui di peringkat antarabangsa, dan kami bergantung pada pengalaman mereka dalam menangani virus COVID-19," katanya.

Menteri itu juga berkata, bahawa orang ramai perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga semasa meninggalkan kediaman mereka dengan menggunakan pelitup muka, sarung tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi mencatatkan sembilan kes kematian baharu dan 2,235 kes positif baharu pada Isnin.

Jumlah kes kematian keseluruhan meningkat kepada 399 orang manakala jumlah kes yang disahkan positif kini menjadi 74,795 kes dan jumlah kes pulih ialah 45,668 kes. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X