Selasa, 26 Mei 2020 | 12:25pm
Anggota polis pencegah rusuhan membuat kawalan berikutan penunjuk perasaan menghadiri demonstrasi pro-demokrasi menentang undang-undang keselamatan baharu yang dicadangkan di Hong Kong. - Foto AFP
Anggota polis pencegah rusuhan membuat kawalan berikutan penunjuk perasaan menghadiri demonstrasi pro-demokrasi menentang undang-undang keselamatan baharu yang dicadangkan di Hong Kong. - Foto AFP

Undang-undang keselamatan negara kunci kemakmuran, kestabilan Hong Kong

BEIJING: Tindakan China memperkenalkan undang-undang keselamatan negara untuk Hong Kong adalah langkah penting memastikan kestabilan jangka panjang dan kemakmuran wilayah itu.

Jurucakap Kementerian Luar Kemboja, Koy Kuong, berkata Kemboja secara konsisten berpegang kepada polisi One-China dan menganggap urusan Hong Kong sebagai hal dalaman China.

Katanya, keputusan draf bagi tujuan melindungi keselamatan nasional dan kedaulatan berlandaskan Perlembagaan China dan asas undang-undang Hong Kong adalah hak kedaulatan China sebagai negara yang merdeka.

"Kemboja berhasrat melihat Hong Kong terus mengecapi kemajuan dan kemakmuran dalam keamanan, kestabilan, keharmonian dan bebas daripada pengaruh luar," katanya.

Ia susulan keputusan draf undang-undang untuk mewujud dan memperbaiki sistem undang-undang dan mekanisma pelaksanaannya kini sedang dipertimbangkan oleh Kongres Rakyat Nasional (NPC) ke-13.

Sementara itu, seorang sarjana dari Universiti Nairobi, Gerishon Ikiara, pula berkata, keganasan di Hong Kong, baru-baru ini, mendedahkan kelompongan sistem perundangan negara itu dan kekurangan mekanisma pelaksanaan yang berkesan dalam mengekalkan keselamatan negara.

"Penting untuk menamatkan kekacauan di Hong Kong menerusi undang-undang keselamatan negara yang lebih kukuh," katanya.

Tambahnya, prinsip "satu negara, dua sistem" akan terus menjadi prasyarat yang penting bagi kemakmuran dan kestabilan jangka panjang.

Sementara itu, Ketua Pengasas Center for New Inclusive Asia Studies (CNIA), Ong Tee Keat, berkata undang-undang itu menghalang dan mengawal risiko keselamatan negara dan melindungi kestabilan dan kemakmuran Hong Kong.

Adalah menjadi hak sebuah negara yang bebas untuk memperkenalkan undang-undang bagi melindungi keselamatan negaranya.

"Negara lain, atas apa alasan sekali pun, tidak mempunyai hak untuk masuk campur," katanya. - AGENSI

Berita Harian X