X
Selasa, 26 Mei 2020 | 2:14pm
Orang ramai bersantai di taman awam persisiran Sungai Han di Seoul. - Foto AFP
Orang ramai bersantai di taman awam persisiran Sungai Han di Seoul. - Foto AFP

COVID-19: Lelaki Korea Selatan dipenjara langgar kuarantin

SEOUL: Seorang lelaki Korea Selatan dihukum penjara empat bulan kerana melanggar perintah kuarantin COVID-19, menjadikannya hukuman penjara pertama di negara itu atas kesalahan berkenaan.

Pemuda berusia 27 tahun itu, ditahan pada April lalu selepas melanggar perintah kuarantin bagi memutuskan rantaian COVID-19, sebanyak dua kali.

Beliau meninggalkan tempat kediamannya ketika pengasingan kendiri 14 hari sebelum dipindahkan ke pusat kuarantin, di mana beliau sekali lagi ditangkap meninggalkan pusat itu tanpa kebenaran.

Lelaki itu disabitkan atas kesalahan melanggar Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit dan dihukum penjara empat bulan bermula hari ini.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon dikenakan hukuman penjara setahun.

Pihak berkuasa Korea Selatan mempertingkatkan langkah membendung penuluaran semula wabak selepas kemunculan kluster kelab malam pada awal bulan ini.

Bermula hari ini, orang ramai diwajibkan memakai pelitup muka ketika menggunakan pengangkutan awam dan teksi di seluruh negara.

Februari lalu, Perhimpunan Kebangsaan meluluskan undang-undang bagi tempoh pemenjaraan maksimum setahun atau denda 10 juta won (AS$8,000) kerana sengaja melanggar kuarantin.

Sebanyak 19 kes baharu dicatatkan sehingga hari ini menjadikan jumlah kumulatif seramai 11,225 kes di negara berpopulasi 52 juta itu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X