Selasa, 26 Mei 2020 | 4:59pm
Kota suci Makkah akan kekal sebagai kawasan larangan sehingga dimaklumkan walaupun selepas Arab Saudi menamatkan perintah berkurung 21 Jun ini. - Foto AFP
Kota suci Makkah akan kekal sebagai kawasan larangan sehingga dimaklumkan walaupun selepas Arab Saudi menamatkan perintah berkurung 21 Jun ini. - Foto AFP

Arab Saudi tamatkan perintah berkurung 21 Jun, kecuali di Makkah

KAHERAH: Selepas lebih dua bulan mengenakan kawalan ketat untuk mengekang penyebaran COVID-19, Arab Saudi akan mulai melonggarkan sekatan pergerakan dan perjalanan minggu ini.

Agensi berita negara itu melaporkan, sekatan akan ditarik balik dalam tiga fasa, yang berakhir dengan menamatkan perintah berkurung sepenuhnya pada 21 Jun ini, kecuali di kota suci Makkah.

Ibadat haji dan umrah yang menarik berjuta-juta jemaah dari seluruh dunia akan terus ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.

Setakat ini, Arab Saudi mencatatkan 74,795 kes jangkitan COVID-19 termasuk 399 kematian, dengan lebih 2,000 kes masih dilaporkan setiap hari.

Fasa pertama akan bermula pada Khamis ini, di mana perintah berkurung 24 jam dikurangkan kepada antara jam 3 petang hingga 6 pagi di seluruh negara.

Pergerakan bebas antara wilayah dan beberapa kegiatan runcit serta borong, termasuk pusat membeli-belah, akan dibenarkan beroperasi semula.

Arab Saudi menguatkuasa perintah berkurung 24 jam di kebanyakan kota tetapi dilonggarkan pada awal bulan Ramadan.

Perintah berkurung 24 jam dilaksanakan semula ketika musim cuti Aidilfitri selama lima hari, bermula pada hari Ahad lalu.

Mulai 30 Mei, pergerakan bebas akan dibenarkan antara jam 6 pagi hingga 8 malam dengan penerbangan domestik akan dibenarkan beroperasi semula, tetapi larangan penerbangan antarabangsa masih berkuat kuasa.

Masjid dibenarkan dibuka untuk mengerjakan solat sekali lagi, tertakluk kepada langkah sosial dan kebersihan, kecuali di Makkah di mana larangan mengunjungi masjid masih dikuatkuasa.

Sementara itu, perhimpunan sosial melebihi 50 orang masih dilarang, termasuk majlis perkahwinan dan upacara pengebumian.

Rakyat negara itu diminta memakai pelitup muka di tempat awam dan meneruskan langkah kebersihan dan penjarakan sosial selepas 21 Jun.

Makkah ketinggalan satu fasa di belakang berbanding wilayah lain di negara itu, dengan perintah berkurung diselaraskan pada jam 3 petang hingga 6 pagi sampai 20 Jun ini, yang akan disemak semula untuk lanjutan hingga 8 malam selepas itu.

Solat berjemaah di masjid hanya dibenarkan semula mulai mulai 21 Jun ini. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X