Rabu, 27 Mei 2020 | 11:56am
Gambar hiasan. (Foto/Agensi)
Gambar hiasan. (Foto/Agensi)

Kerjasama hadapi cabaran COVID-19

SEOUL: Korea Selatan dan 10 lagi negara melancarkan kumpulan kerjasama melalui Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pelancaran kumpulan itu sebagai menggalakkan kerjasama menentang diskriminasi dan cabaran sosial lain berpunca daripada wabak COVID-19.

Seoul memimpin usaha itu bagi mewujudkan Kumpulan Rakan untuk Solidariti dan Penyertaan dengan Pendidikan Kewarganegaraan Global (GCED) selepas melancarkan kumpulan seumpamanya bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 12 Mei dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Rabu lalu.

Agensi Berita Yonhap melaporkan kumpulan itu dilancarkan memandangkan Seoul sedang berusaha untuk berkongsi maklumat dengan dunia mengenai pengalaman memerangi pandemik COVID-19 selepas kejayaannya yang mendapat pengiktirafan global dalam merangka strategi bagi membasmi penularan virus berkenaan.

Anggota UNESCO turut mengadakan sidang video bagi membincangkan kerjasama bagi isu yang timbul sepanjang penularan wabak ini, antaranya kebencian terhadap warga asing.

Negara yang menganggotai kumpulan itu termasuk Korea Selatan, Armenia, Austria, Bangladesh, Colombia, Itali, Jordan, Kenya, Filipina, Serbia dan Senegal.

"Kumpulan kerjasama ini akan menjadi platform bagi menzahirkan solidariti dan terbabit dalam menghadapi cabaran ketika dan selepas berlalunya wabak ini.

"Kami akan fokus kepada menyuarakan perkara berkaitan kebencian, diskriminasi dan stigma yang berkaitan dengan pandemik ini, selain untuk mempromosikan GCED bagi kerjasama antarabangsa bagi tempoh pasca pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kumpulan ini.– BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X