Ahad, 31 Mei 2020 | 7:54pm
Taj Mahal dibina oleh Maharaja Mughal, Shah Jahan sebagai pusara untuk isteri tercintanya, Mumtaz Mahal. Foto AFP
Taj Mahal dibina oleh Maharaja Mughal, Shah Jahan sebagai pusara untuk isteri tercintanya, Mumtaz Mahal. Foto AFP

Taj Mahal alami kerosakan akibat ribut petir

AGRA: Beberapa bahagian dalam kompleks Taj Mahal mengalami kerosakan termasuk pintu utama dan pagar yang mengelilingi lima kubahnya akibat ribut petir berbahaya yang melanda bahagian utara India, kata pegawai kerajaan hari ini.

Taj Mahal yang juga salah satu daripada tujuh keajaiban di dunia dan menjadi tarikan pelancong nombor satu di India ditutup sejak pertengahan Mac lalu bagi mencegah penularan COVID-19.

Melalui gambar yang dirakam AFP menunjukkan bahawa pekerja sedang melakukan kerja pembaikan pagar di bahagian makam utama selepas ribut petir pada malam Jumaat lalu menjejaskan bandar Agra di negeri di utara, Uttar Pradesh.

"Salah satu pagar diperbuat daripada batu pasir yang merupakan bahagian daripada struktur asalnya rosak," kata Penyelia Ahli Arkeologi dari Kaji Selidik Arkeologi India, Vasant Kumar Swarnkar.

"Salah satu pagar marmar yang merupakan struktur tambahan dan siling di kawasan berkumpul pelancong dan batu asas di pintu utama juga didapati rosak," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun tiada kerosakan pada struktur utama monumen yang dikenali dengan lambang cinta itu yang mana ia dibina oleh Maharaja Mughal, Shah Jahan sebagai pusara untuk isteri tercintanya, Mumtaz Mahal yang meninggal dunia ketika melahirkan pada tahun 1631.

Media tempatan melaporkan bahawa ribut petir dan kilat pada Jumaat itu mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang di dua daerah di Uttar Pradesh.

Bencana alam itu sering berlaku pada musim tengkujuh sekitar bulan Jun hingga Oktober.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 150 orang terbunuh akibat ribut petir yang berlaku pada Ogos dan September di negeri di tengah India iaitu Madhya Pradesh. - AFP

Berita Harian X