Selasa, 23 Jun 2020 | 7:26am
Gambar fail diambil pada 24 Mei lalu, menunjukkan umat Islam menunaikan solat Aidilfitri di hadapan Kaabah - Foto AFP
Gambar fail diambil pada 24 Mei lalu, menunjukkan umat Islam menunaikan solat Aidilfitri di hadapan Kaabah - Foto AFP

Hanya penduduk, rakyat asing tinggal di Arab Saudi saja dibenarkan tunai ibadah haji

RIYADH: Arab Saudi tahun ini akan mengehadkan jemaah haji hanya untuk penduduk yang tinggal di negara itu, susulan penularan wabak COVID-19, sekali gus menutup pintunya kepada jemaah haji luar negara, lapor agensi berita Anadolu.

Kementerian Haji dan Umrah dalam satu kenyataan berkata hanya sebilangan kecil penduduk daripada pelbagai kerakyatan yang tinggal di Arab Saudi akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Pada tahun lalu, seramai kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadah haji itu yang juga satu daripada Rukun Islam.

"Ibadah haji pada tahun ini diputuskan dengan hanya jumlah yang terhad untuk memastikan ibadah ini dilaksanakan dengan selamat dari perspektif kesihatan umum dan menurut ajaran Islam berkaitan dengan keselamatan nyawa," Saudi Press Agency memetik kenyataan Kementerian Haji Arab Saudi.

Pengumuman itu secara tidak langsung pastinya memberi kekecewaan kepada jutaan bakal jemaah di seluruh dunia yang menabung dan menunggu senarai yang lama untuk berpeluang menunaikan haji.

"Arab Saudi sudah memilih cara yang paling selamat kerana tidak mahu berkompromi apabila berkaitan dengan kesihatan awam.

Namun pelbagai persoalan timbul seperti jumlah jemaah dibenarkan, kriteria dan berapa banyak rakyat Saudi dan bukan rakyat Saudi dibenarkan," kata pelawat di Royal United Services Institute di London, Umar Karim.

"Tahun ini sangat sukar dengan beberapa bencana terjadi hingga memberi kesan penurunan keuntungan dari semua sektor antaranya minyak, pelancongan, penggunaan domestik dan kini umrah serta haji kepada Arab Saudi," kata seorang sarjana di American Enterprise Institute, Karen Young.

Awal bulan ini, Indonesia iaitu negara yang memiliki populasi penduduk Islam terbesar dunia menangguhkan ibadah haji, diikuti Malaysia, Senegal dan Singapura.

Angka kes COVID-19 di Arab Saudi kini meningkat kepada 161,000 kes dengan 1,300 kematian dicatatkan setakat ini. - AFP


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X