X
Isnin, 29 Jun 2020 | 8:20pm

Vaksin COVID-19 China diluluskan untuk kegunaan tentera

BEIJING: Tentera China meluluskan vaksin COVID-19 untuk digunakan dalam pasukan selepas dibangunkan oleh unit penyelidikannya dan firma bioteknologi, menurut sebuah syarikat hari ini.

Organisasi di seluruh dunia kini berlumba-lumba mencari jalan untuk merawat dan mencegah virus berkenaan, yang pertama kali muncul di bandar Wuhan, China dan sudah membunuh lebih setengah juta orang di seluruh dunia.

Lebih separuh daripada 17 sampel vaksin yang dikenal pasti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang kini dalam penilaian klinikal, dihasilkan syarikat atau institusi dari China.

Syarikat senaraian awam Hong Kong, CanSino Biologics memaklumkan kepada bursa saham, data dari percubaan klinikal menunjukkan vaksin ketenteraan China mempunyai 'rekod keselamatan yang baik' dan berpotensi mencegah penyakit disebabkan COVID-19.

CanSino memberitahu, Suruhanjaya Ketenteraan Berpusat China meluluskan penggunaan vaksin pada minggu lalu, untuk tempoh setahun.

Vaksin itu dihasilkan bersama CanSino dan Institut Bioteknologi Beijing, sebahagian daripada Akademi Sains Perubatan Tentera.

Penggunaannya tidak dapat dihasilkan tanpa persetujuan lebih lanjut, jelas syarikat itu.

Tidak jelas mengenai penggunaannya dalam pasukan tentera China, sementara kementerian pertahanan tidak memberi maklum balas terhadap permintaan AFP bagi mendapatkan maklumat lanjut.

CanSino bagaimanapun tidak memberi jaminan sama ada vaksin yang sudah menjalani ujian klinikal fasa satu dan dua di China itu akhirnya dapat dikomersilkan.

Sebanyak 131 lagi sampel vaksin yang disenarai WHO masih berada dalam fasa pra-klinikal.

Belum ada yang diluluskan bagi penggunaan komersil merawat coronavirus.

Menurut jurnal perubatan, The Lancet, terdapat lebih dari 1,000 ujian klinikal terhadap puluhan rawatan farmasi untuk mencegah virus berkenaan, namun belum ada kesan perubatan yang betul-betul berkesan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X