Selasa, 30 Jun 2020 | 8:37am
Gambar fail menunjukkan wanita Uighur bersama kanak-kanak di Kashgar, wilayah Xinjiang di China. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan wanita Uighur bersama kanak-kanak di Kashgar, wilayah Xinjiang di China. - Foto AFP

China didakwa memandulkan etnik Uighur secara paksa

BEIJING: Pihak berkuasa China didakwa memandulkan wanita Uighur secara paksa bagi mengurangkan jumlah penduduk etnik Islam itu di barat wilayah Xinjiang.

Laporan penyelidik Jerman, Adrian Zenz, yang diterbitkan semalam, mendedahkan dasar China yang mengurung wanita Uighur di kem tahanan jika enggan menggugurkan kandungan sekiranya melebihi kuota anak yang ditetapkan.

Laporkan berasaskan data rasmi, dokumen dasar dan temu bual dengan wanita Uighur itu mendorong sekumpulan Ahli Parlimen antarabangsa mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan siasatan.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan China yang semalam menafikan menindas etnik Uighur dan menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas.

China dituduh memenjarakan lebih sejuta etnik Uighur dan minoriti Islam lain di 'kem pendidikan semula' atas alasan mahu memberi latihan kemahiran , sekali gus menghindarkan mereka terpengaruh dengan kegiatan pengganas.

Laporan berasaskan data oleh Zenz, yang merangkumi dokumen awam di laman internet mengenai kem tahanan terbabit, pernah dirujuk oleh panel pakar PBB yang melakukan siasatan terhadap pusat tahanan terbabit.

Difahamkan, wanita yang Uighur dipaksa menggunakan alat pencegah kehamilan walaupun belum memenuhi kuota dua anak yang dibenarkan bagi setiap keluarga di China.

Selain itu, ada laporan mengatakan wanita terbabit turut dipaksa menjalani pembedahan bagi memandulkan mereka.

Bekas tahanan mendakwa mereka diberi suntikan yang menghentikan didatangi haid atau menyebabkan pendarahan luar biasa yang lazimnya adalah kesan sampingan ubat pencegah kehamilan.

Menurut laporan Zenz lagi, wanita etnik minoriti di kawasan pedalaman kerap dipaksa oleh pegawai perubatan tempatan bagi menjalani pemeriksaan ginekologi dan ujian kehamilan dua kali sebulan.

Beliau mendapati jumlah penduduk di Xinjiang yang rata-rata dihuni etnik minoriti, berkurangan berbanding kawasan yang majoriti penduduk adalah etnik Han dalam tempoh antara 2017 dan 2018.

Pada tahun berkenaan, data rasmi menunjukkan kadar pemandulan di wilayah Xinjiang meningkat jauh melebihi kadar pemandulan bagi keseluruhan China.

Kata Zenz, China nampaknya menggunakan pencegahan kehamilan secara paksa sebagai alat mencapai agenda lebih besar iaitu penguasaan satu kaum.

"Penemuan ini menimbulkan persoalan serius sama ada dasar China di Xinjiang ini boleh dianggap sebagai kempen pembersihan etnik secara demografi mengikut tafsiran PBB.

Persekutuan Intra-Parlimen mengenai China (IPAC) merangkumi sekumpulan Ahli Parlimen Amerika Utara, Eropah dan Australia, semalam berkata ia akan mendesak penyiasatan dilancarkan terhadap China.

IPAC ditubuhkan baru-baru ini khusus bagi menghadapi 'cabaran berikutan tingkah laku semasa dan cita-cita jangka panjang China'.

Bagaimanapun, Kementerian Luar China menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan mempunyai motif terlindung.

Jurucakapnya, Zhao Lijian, menempelak media kerana menyiarkan laporan palsu mengenai laporan berkaitan Xinjiang.

Sementara itu, kumpulan hak asasi, World Uyghur Congress, berkata laporan itu membuktikan wujud elemen pembersihan etnik dalam dasar Parti Komunis China dan menggesa tindakan antarabangsa terhadap China. - AFP

Berita Harian X