Selasa, 30 Jun 2020 | 9:24am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Jutaan rakyat Syria kebuluran akibat perang

BEIRUT: Kumpulan bantuan kemanusiaan menggesa lebih banyak bantuan disalurkan ke Syria di mana jutaan penduduknya kini diancam kebuluran.

Walaupun konflik peperangan selama sembilan tahun kini semakin reda, keperluan bantuan kemanusiaan semakin meruncing, kata sekumplan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada satu persidangan di Brussels semalam.

Persidangan Brussels IV anjuran Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu bermula hari ini, bertujuan membantu warga Syria yang menjadi mangsa peperangan, baik di dalam atau di luar negara itu.

"Kira-kira 9.3 juta rakyat Syria kini tidur kelaparan dan dua juta lagi bagi mengalami nasib sama jika tiada bantuan segera daripada masyarakat antarabangsa.

"Tanpa dana dan penambahan akses bantuan kemanusiaan, kebanyakan warga Syria termasuk yang menjadi pelarian, akan kebuluran.

"Peperangan hampir sedekad menyebabkan Syria terjerumus dalam kancah kekecewaan dan hilang harapan yang semakin buruk saban tahun," katanya dalam satu kenyataan bersama.

Ia ditandatangani Norwegian Refugee Council, Oxfam, CARE, Mercy Corps dan beberapa lagi, yang turut menambah bahawa penduduk Syria yang menghadapi isu keselamatan makanan meningkat 42 peratus sejak tahun lalu.

Ketua badan kemanusiaan PBB, Mark Lowcock, memberitahu Majlis Keselamatan PBB (UNSC) semalam bahawa bantuan yang sampai ke Syria tidak memadai sama sekali.

"Penduduk di kawasan timur laut Syria terus merana, operasi merentasi sempadan perlu dipertingkatkan, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kesengsaraan dan kematian," katanya.

Perang di Syria mengakibatkan lebih 380,000 terkorban dan memaksa hampir separuh penduduknya menjadi pelarian sejak ia bermula pada 2011. - AFP

Berita Harian X