Rabu, 1 Julai 2020 | 8:07am
Seorang mangsa serangan mortar di sebuah pasar di Afghanistan sedang menerima rawatan. - Foto AFP
Seorang mangsa serangan mortar di sebuah pasar di Afghanistan sedang menerima rawatan. - Foto AFP

Serangan mortar di pasar, PBB salahkan tentera Afghanistan

KABUL: Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) menyalahkan pasukan tentera negara itu kerana membedil mortar ke arah pasar di penuhi orang awam semalam, menyebabkan 23 terbunuh.

UNAMA, menerusi ciapan di Twitter, berkata siasatan awal mendapati serangan itu menggunakan mortar milik Tentera Kebangsaan Afghanistan (ANA).

"Pelbagai sumber boleh dipercayai menegaskan bahawa ANA bertanggungjawab membedil mortar itu bagi membalas serangan puak Taliban tetapi tersasar ke arah pasar berkenaan," katanya.

Pihak berkuasa Afghanistan sebelum ini menyalahkan Taliban melancarkan serangan di daerah Sangin di wilayah Helmand, dengan Presiden Ashraf Ghani mengutuk serangan itu sebagai perbuatan pengganas.

UNAMA menggesa kerajaan Afghanistan melancarkan siasatan bebas dan mendesak puak Taliban dan tentera Afghanistan menghentikan pertempuran di kawasan orang awam.

Taliban menafikan bertanggungjawab atas serangan itu dan menuduh tentera Afghanistan melancarkan serangan mortar itu , yang turut mencederakan 15 orang awam. - AFP

Berita Harian X