Sabtu, 1 Ogos 2020 | 10:47am
Beberapa aktivis pro-demikrasi Hong Kong yang menyertai tunjuk perasaan membantah pelaksanaan undang-undang keselamatan baharu. - Foto AFP
Beberapa aktivis pro-demikrasi Hong Kong yang menyertai tunjuk perasaan membantah pelaksanaan undang-undang keselamatan baharu. - Foto AFP

Polis Hong Kong buru aktivis dalam buangan

HONG KONG: Polis Hong Kong mengarahkan enam aktivis pro-demokrasi yang kini tinggal dalam buangan ditahan kerana mengancam keselamatan negara.

Antara mereka termasuk pemimpin muda, Nathan Law, 27 yang kini berada Britain, namun pihak berkuasa tempatan enggan memberi sebarang komen berhubung perkara itu.

Menurut agensi berita rasmi CCTV, aktivis lain yang dicari termasuk bekas kakitangan konsulat Britain di Hong Kong, Simon Cheng; aktivis pro-kemerdekaan Ray Wong; Wayne Chan; Honcques Laus, dan Samuel Chu.

"Polis Hong Kong secara rasmi mengarahkan penangkapan enam aktivis itu, yang kini berada di luar negara," kata stesen televisyen CCTV.

China sejak kebelakangan ini melaksanakan tindakan tegas terhadap gerakan demokrasi di Hong Kong dengan menguatkuasa undang-undang keselamatan negara berikutan meningkatnya keganasan di kota metropolitan itu.

Undang-undang berkaitan kesalahan penindasan, pemisahan, keganasan dan bersekongkol dengan agensi asing itu menetapkan hukuman penjara seumur hidup.

Pengkritik menyifatkan peruntukan undang-undang itu sebagai 'senjata' untuk menutup mulut pembangkang dan menyekat pandangan politik pihak tertentu.

Tindakan itu pertama kali diambil polis Hong Kong dengan menggunakan kuasa luar wilayah seperti termaktub dalam undang-undang bar, bagi memburu aktivis yang tidak berada di wilayah berkenaan. - AFP

Berita Harian X