Sabtu, 1 Ogos 2020 | 11:58am

Orang awam terbunuh di sempadan Pakistan-Afghanistan

ISLAMABAD: Beberapa orang terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan sempadan Pakistan dan orang ramai yang cuba menyeberang ke Afghanistan untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga.

Kabul dan Islamabad masing-masing saling menyalahkan satu sama lain berhubung kejadian Khamis lalu dalam wilayah Pakistan di sempadan Chaman-Spin Boldak.

Pegawai Afghanistan menuduh Pakistan melepaskan tembakan di sempadan terhadap orang awam menyebabkan 15 terbunuh, manakala Islamabad menyatakan tentera Afghanistan yang memulakan serangan dulu.

Pesuruhjaya wilayah sempadan Quetta, Usman Ali, berkata kira-kira 150 orang berkumpul di sempadan yang ditutup bulan lalu dalam usaha mengurangkan penyebaran virus COVID-19, namun ia dibuka sebentar kelmarin.

"Penunjuk perasaan mula marah apabila pintu sempadan ditutup semula pada waktu tengahari dan kemudian, pasukan pengawal sempadan yang dikerahkan ke sana melepaskan tembakan ke udara.

"Ini mendorong penunjuk perasaan melempar batu ke arah pasukan pengawal sempadan, yang melakukan tindakan sama menyebabkan lima penunjuk perasaan terbunuh terkena balingan batu, tetapi bukannya akibat ditembak," katanya.

Sementara itu di Afghanistan pula, jurucakap gabenor wilayah Kandahar, Baheer Ahmad, berkata 15 orang terbunuh, antaranya seorang anggota polis manakala 80 cedera akibat tembakan rambang oleh pasukan pengawal sempadan Pakistan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Afghanistan, Fawad Aman, dalam hantaran di Facebook, berkata serangan oleh anggota keselamatan Pakistan di kawasan Afghanistan mengorbankan sembilan orang awam dan mencederakan 50 yang lain.

Bagaimanapun Kementerian Luar Pakistan menyalahkan anggota keselamatan Afghanistan melepaskan tembakan rambang terhadap orang awam yang tidak bersalah dan tentera Pakistan. - AFP

Berita Harian X