X
Sabtu, 1 Ogos 2020 | 7:38pm
Nepal membuka semula kawasan pergunungannya termasuk Everest untuk pendakian selepas menutup sempadan negaranya pada Mac lalu. Foto AFP
Nepal membuka semula kawasan pergunungannya termasuk Everest untuk pendakian selepas menutup sempadan negaranya pada Mac lalu. Foto AFP

Nepal buka semula Everest

KATHMANDU: Nepal membuka semula kawasan pergunungannya termasuk Everest untuk pendakian pada musim luruh dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan yang terjejas biarpun kes COVID-19 masih tidak menentu.

Negara Himalaya itu menutup sempadannya pada Mac, menjelang musim bunga yang sibuk ketika ratusan pendaki gunung biasanya berduyun-duyun ke negara itu, menyebabkan kerugian dari segi pekerjaan dan pendapatan berjuta-juta dolar.

Jurucakap dari jabatan pelancongan, Mira Acharya, berkata sekatan di seluruh negara dihapuskan minggu lalu dan Nepal kini dibuka untuk aktiviti pelancongan termasuk pendakian gunung biarpun 1,000 kes jangkitan baharu dilaporkan minggu ini dengan jumlah keseluruhan 19,547 kes.

Malah, kerajaan juga akan memberi permit penerbangan antarabangsa untuk ke negara itu bermula 17 Ogos ini.

Pegawai kini bertungkus lumus dalam penyediaan protokol keselamatan termasuk berapa lama pelancong perlu dikuarantin ketika ketibaan.

Mingma Sherpa dari Seven Summit Treks iaitu satu daripada penganjur ekspedisi terbesar berkata, ramai pelancong yang berminat tetapi perlu menunggu berapa lama perlu kuarantin ketika ketibaan.

"Satu kelegaan kepada pekerja pendaki gunung jika kita dapat menjalankan ekspedisi selepas musim bunga yang kosong," kata Sherpa.

Bagi Lukas Furtenbach dari Furtenbach Adventures berkata, mereka sudah membatalkan semua ekspedisi kerana ia membabitkan nyawa kakitangan dan pelanggan.

Sementara itu, pakar pendakian gunung mengatakan musim pada September hingga November lebih berbahaya kerana angin kencang dan suhu yang lebih rendah, malah gunung tertinggi di dunia itu hanya dapat dilihat sedikit saja.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X