X
Sabtu, 1 Ogos 2020 | 9:26pm
Seorang penduduk Pangsapuri Abhishek keluar dari pondok kayu selepas menyedut wap mesra alam yang digunakan sebagai langkah pencegahan terhadap COVID-19 di Ahmedabad. - Foto AFP
Seorang penduduk Pangsapuri Abhishek keluar dari pondok kayu selepas menyedut wap mesra alam yang digunakan sebagai langkah pencegahan terhadap COVID-19 di Ahmedabad. - Foto AFP

COVID-19: India catat kes harian tertinggi, keseluruhan 1,695,988 kes

NEW DELHI: India merekodkan 57,118 kes dalam tempoh 24 jam, sekali gus menjadikan kes harian jangkitan COVID-19 paling tinggi hari ini.

Menurut data terkini Kementerian Kesihatan, angka itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di negara itu sebanyak 1,695,988 kes.

Ini adalah hari ketiga berturut-turut peningkatan kes positif COVID-19 melebihi paras 50,000, lapor Agensi Berita Xinhua.

Mengikut kementerian, sebanyak 764 maut akibat wabak pandemik itu dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan adalah 36,511 kes.

Terdapat 565,103 kes aktif di negara itu dan 1,094,374 orang pulih dan sudah dibenarkan keluar wad hospital.

Lonjakan jumlah kes COVID-19 baru-baru ini disebabkan peningkatan ujian sampel.

Menurut Majlis Penyelidikan Perubatan India (ICMR), sejumlah 1,93,58,659 sampel diuji sehingga 31 Julai lalu, dengan hanya 525,689 sampel diuji pada Jumaat.

Pada awal minggu ini, Perdana Menteri India, Narendra Modi, berkata usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan kadar pengujian harian sampel melebihi sejuta.

India memasuki fasa 'unlock-3' pada Sabtu dengan garis panduan baharu dikeluarkan oleh kerajaan pusat supaya diikuti.

Sekolah dan institusi pendidikan akan terus kekal ditutup sehingga 31 Ogos ini, manakala sekatan pergerakan individu pada waktu malam dimansuhkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penerbangan Awam (DGCA) India mengumumkan lanjutan larangan bagi penerbangan antarabangsa sehingga 31 Ogos depan.

Walaupun begitu, perjalanan akan dilakukan di bawah gelembung perjalanan atau 'travel bubbles' membabitkan beberapa negara termasuk Jerman, Amerika Syarikat dan Perancis. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X