Ahad, 2 Ogos 2020 | 10:44am
RIBUAN penduduk mengadakan tunjuk perasaan menuntut Benjamin Netayahu letak jawatan.- Foto/AFP
RIBUAN penduduk mengadakan tunjuk perasaan menuntut Benjamin Netayahu letak jawatan.- Foto/AFP

Tunjuk perasaan desak PM Israel letak jawatan

JERUSALEM: Ribuan penduduk mengadakan tunjuk perasaan membantah Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu di seluruh Israel, malam tadi, menuntut pemimpin itu meletakkan jawatan terhadap dakwaan rasuah dan menyebabkan peningkatan kes COVID-19.

Tunjuk perasaan itu dibuat bukan sahaja di beberapa persimpangan dan jambatan, namun juga di luar kediaman peribadinya di bandar utara Caesarea, di mana orang ramai memegang sepanduk yang menuduh bahawa Netanyahu 'gagal' dan mendesak pengunduran dirinya.

Bagaimanapun, acara tunjuk perasaan utama dibuat di luar kediaman rasmi pemimpin itu di Jerusalem, di mana penganjur berkata ribuan orang menuntut supaya Netanyahu berundur.

Media melaporkan di Tel Aviv, ratusan penduduk melakukan protes terhadap peningkatan pengangguran dan dakwaan bahawa kerajaan gagal menyokong usaha rakyat yang terpaksa bekerja sendiri ekoran kehilangan mata pencarian akibat wabak itu.

Dengan memakai pelitup muka untuk mencegah jangkitan COVID-19, penunjuk perasaan menuduh Netanyahu yang sedang berdepan perbicaraan di mahkamah daerah Jerusalem terhadap tuduhan rasuah dan gagal menyelesaikan krisis COVID-19 dan kemelut ekonomi berkaitan.

Sebelum ini, Israel mendapat pujian atas tindak balas awalnya terhadap penularan COVID-19, namun kerajaan berdepan kritikan di saat lonjakan semula COVID-19 selepas sekatan ditarik balik, sejak akhir April lalu.

Netanyahu sendiri mengakui bahawa pembukaan semula sektor ekonomi Israel adalah terlalu cepat.

Negara itu yang diduduki kira-kira sembilan juta orang sehingga kini merekodkan lebih 72,000 kes positif termasuk 523 kematian.

Tunjuk perasaan itu berlangsung selama berminggu-minggu, sehingga Netanyahu, malam tadi menuduh bahawa saluran televisyen swasta 12 dan 13 menyampaikan propaganda untuk demonstrasi anarki bersayap kiri' dengan memberikan liputan meluas terhadap tindakan terbabit.

"Mereka terdesak meracuni fikiran orang awam untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang kuat dari sayap kanan," menurut parti diwakili Netanyahu, Likud dalam ciapannya melalui hantaran yang diciap semula oleh perdana menteri itu, di Twitter- AFP.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X