Rabu, 5 Ogos 2020 | 7:13am
Runtuhan akibat letupan kuat di pelabuhan dekat ibu kota Lubnan Beirut petang Selasa. Letupan itu mengakibatkan puluhan individu mati dan ribuan lagi cedera. - Foto AFP
Runtuhan akibat letupan kuat di pelabuhan dekat ibu kota Lubnan Beirut petang Selasa. Letupan itu mengakibatkan puluhan individu mati dan ribuan lagi cedera. - Foto AFP

Serangan yang mengerikan - Trump

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan letupan kuat yang menggegarkan Beirut, ibu kota Lubnan sebagai 'serangan yang mengerikan'.

Beliau berkata, negara itu mempunyai hubungan sangat baik dengan rakyat Lubnan dan memberi jaminan akan memberi bantuan.

"Ia kelihatan seperti serangan yang mengerikan," kata Trump pada media di Rumah Putih.

Dua letupan kuat menggegarkan Beirut pada Selasa sehingga mengakibatkan kira-kira 27 orang dilaporkan terbunuh setakat ini, manakala lebih 2,000 cedera.

Letupan dipercayai berlaku di pelabuhan Beirut dengan beberapa bangunan di sekitar kawasan itu, termasuk kediaman bekas Perdana Menteri, Saad Hariri yang dilihat musnah serta mengalami kerosakan teruk.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang waktu tempatan, letupan itu bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan di kawasan itu malah impaknya menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan lain yang terletak beberapa kilometer dari lokasi letupan dengan kepulan asap hitam tebal dapat dilihat sejauh kira-kira 10 kilometer.

Terdapat juga rakaman dari pelabuhan menunjukkan kerosakan besar pada bangunan dan kereta, serta orang yang cedera dalam letupan itu.

Bagaimanapun, jumlah kematian dan punca letupan masih belum dapat dikenal pasti. - AFP

Berita Harian X