Rabu, 5 Ogos 2020 | 9:57pm
Pasukan penyelamat menyelongkar serpihan bangunan bagi mencari mangsa letupan di Beirut. - Foto AFP
Pasukan penyelamat menyelongkar serpihan bangunan bagi mencari mangsa letupan di Beirut. - Foto AFP

Dunia ucap takziah, hulur bantuan kepada Lubnan

BEIRUT: Sekutu rapat dan musuh tradisi Lubnan semalam memberi penghormatan kepada mangsa letupan di Beirut, ketika ucapan takziah dan bantuan ditawarkan kepada negara itu.

Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab, menggesa negara sekutunya menyokong negara itu yang kini berada dalam krisis ekonomi terburuk sejak beberapa dekad, selain dilanda pandemik COVID-19.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menzahirkan takziah susulan letupan Beirut itu, yang turut mencederakan beberapa kakitangan PBB.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata ia adalah 'serangan yang teruk' dan jeneral AS memaklumkan kepadanya bahawa letupan itu mungkin disebabkan 'sejenis bom', namun tidak mengemukakan bukti.

Di rantau itu, beberapa negara Teluk antara yang terawal memberi reaksi, dengan Qatar berjanji membuka hospital lapangan bagi menyokong bantuan perubatan.

Pemerintah Qatar, Emir Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, turut mendoakan mereka yang cedera segera pulih.

Kakitangan di pangkalan udara Al-Udeid di Doha sudah menyiapkan ratusan katil mudah alih, penjana kuasa dan kelengkapan perubatan dalam salah satu daripada empat pesawat kargo yang dijadual melakukan penerbangan ke Beirut hari ini.

Presiden Iran, Hassan Rouhani, turut menyampaikan mesej kepada rakan sejawatnya bahawa Tehran bersedia menawarkan bantuan perubatan manakala Raja Jordan, Raja Abdullah II, menjanjikan sebuah hospital di lapangan.

Mesir menzahirkan kebimbangan pada kemusnahan itu, dan Ketua Liga Arab, Ahmed Aboulgheit, mengucapkan takziah, dan menegaskan 'kepentingan mencari kebenaran di sebalik tragedi berkenaan'.

Malah, negara jiran Israel turut menawarkan bantuan kemanusiaan kepada Lubnan, walaupun secara teknikalnya kedua-dua negara itu masih berperang.

Regim Zionis itu, dalam satu kenyataan, memaklumkan bagi pihak Israel, Menteri Pertahanan, Benny Gantz dan Menteri Luar, Gabi Ashkenazi, menawarkan bantuan kepada Kerajaan Lubnan.

"Kita akan salurkan menerusi pihak antarabangsa, bantuan perubatan dan kemanusiaan, serta bantuan kecemasan segera," katanya.

Cyprus, yang terletak 240 kilometer ke barat laut Beirut dan turut merasai gegaran letupan, menghantar lapan anjing pengesan mangsa tragedi itu.

Di luar rantau itu, menyedari ramai mangsa mungkin terperangkap, Perancis menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan pesawat tentera bersama bekalan bahan perubatan serta klinik di lapangan.

Pihak berkuasa Belanda pula menghantar 67 orang ke Beirut termasuk doktor, pasukan penyelamat dan bomba manakala Republik Czech menghantar 36 anggota SAR termasuk anjing pengesan. - AFP

Berita Harian X