Rabu, 16 September 2020 | 1:04pm
Petugas kesihatan yang dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE), bersiap sedia untuk melaksanakan ujian saringan COVID-19 di Mumbai, semalam. - FOTO AFP
Petugas kesihatan yang dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE), bersiap sedia untuk melaksanakan ujian saringan COVID-19 di Mumbai, semalam. - FOTO AFP

COVID-19: India melepasi lima juta kes

NEW DELHI: Jumlah jangkitan COVID-19 di India melepasi lima juta kes, hari ini, menurut data Kementerian Kesihatan.

Perkembangan membimbangkan itu menyaksikan India terus bergelut dengan cengkaman wabak berkenaan yang menular begitu pantas.

India melaporkan sejuta kes terbaru dalam tempoh hanya 11 hari yang juga rekod dunia, sekali gus menjadikan jumlah jangkitan mencecah 5.02 juta.

Setakat ini, hanya Amerika Syarikat (AS) mengatasi angka India itu dengan mencatatkan sejumlah 6.59 juta jangkitan.

Kebelakangan ini, India telah merekodkan lonjakan angka harian yang tertinggi di dunia, malah melaporkan lebih 90,000 jangkitan dengan 1,290 kematian, hari ini.

Meskipun penularan COVID-19 di India mencecah sejuta kes dalam tempoh 167 hari, angka juta seterusnya dicapai dalam masa 21 hari saja, lebih pantas berbanding AS dan Brazil, lapor Times of India.

Selepas hanya 29 hari, India muncul negara ketiga mencatatkan jumlah empat juta jangkitan, menyusuli AS dan Brazil.

Pada awal bulan ini pula, bilangan kes wabak berkenaan di India sudahpun mengatasi Brazil.

India kini melakukan ujian saringan terhadap kira-kira sejuta penduduk, setiap hari, namun pakar menyifatkannya sebagai tidak mencukupi dan berpendapat angka sebenar jangkitan berkemungkinan jauh lebih tinggi.

Minggu lalu, Majlis Penyelidikan Perubatan India yang juga agensi pandemik utama di negara ini, memaklumkan hasil tinjauan mereka mencadangkan bahawa wabak itu telah menjangkiti seramai 6.5 juta orang, setakat Mei lalu.

Begitu juga angka korban - 82,066 kes setakat hari ini - dengan banyak kematian dikata tidak direkodkan secara betul oleh pihak berkuasa walaupun ketika dalam keadaan biasa. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X