Sabtu, 29 Julai 2017 | 8:37am
ANGGOTA Four Paws mengangkut seekor singa betina di Cobanbey, setelah diselamatkan dari taman hiburan Magic World yang musnah berhampiran Aleppo.- Foto AFP

Four Paws pindah haiwan dari zoo Aleppo ke Turki

ISTANBUL: Sebuah badan kebajikan haiwan antarabangsa berjaya memindahkan sekumpulan haiwan yang terperangkap di zoo terbiar dalam wilayah bergolak Aleppo di utara Syria.

Jurucakap Kumpulan Four Paws, Martin Bauer berkata, mereka berusaha memindahkan dua ekor singa serta dua anjing tempatan dari zoo 'Magic World' dan taman hiburan dekat sempadan Turki dan Syria ke pusat perlindungan haiwan di utara negara itu.

Bauer berkata, konvoi membawa haiwan itu merentas sempadan Syria-Turki lewat Jumaat dan kini sedang dalam perjalanan menuju ke pusat perlindungan haiwan di Karacabey, di barat laut bandar Bursa, Turki.

Katanya operasi awal Four Paws dibuat pada 21 Julai lalu yang memindahkan sembilan haiwan, terdiri daripada tiga singa, dua harimau, dua beruang hitam Asia dan dua dubuk dari zoo yang sama.

"Selepas melalui perjalanan selama sehari, mereka tiba dengan selamat di rumah baharu mereka, kemudian ditempatkan di pusat perlindungan Karacabey.

"Sembilan haiwan yang sudah ditempatkan di Karacabey dalam keadaan baik. Situasi tahun lalu agak menjejaskan keadaan mereka tetapi kini mereka beransur pulih," kata Bauer. - AFP

Berita Harian X