Rabu, 23 Ogos 2017 | 9:21pm
Putera Harry

Ayah sentiasa ada untuk kami - Putera Harry

LONDON: Anak kedua Putera Charles, Putera Harry, mempertahankan cara bapanya menjaga beliau dan abangnya, Putera William, ketika kedua-duanya menangisi kematian ibu mereka, Puteri Diana, dalam dokumentari yang disiarkan hari ini.

Dokumentari bertajuk 'Diana, 7 days', terbitan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) menceritakan kisah berikutan kematian puteri itu kira-kira 20 tahun lalu.

Diana dan kekasihnya, Dodi al-Fayed maut apabila limosin yang dinaiki mereka mengalami kemalangan dalam terowong di Paris ketika memecut untuk mengelak paparazi.

William dan Harry, yang masing-masing berusia 15 dan 12 tahun ketika itu, bercakap mengenai kematian ibu mereka buat kali pertama dalam satu lagi dokumentari yang disiarkan Julai lalu, tetapi tidak menyebut peranan bapa mereka dalam program 90 minit itu.

"Ayah ada untuk kami. Antara perkara paling sukar untuk dilakukan salah seorang ibu bapa adalah memberitahu anak bahawa ibu atau bapa mereka meninggal dunia," katanya kepada BBC.

Berikutan kematian Diana, keluarga diraja menjadi subjek kritikan kerana layanan terhadap puteri itu, yang bergelut menyesuaikan diri dengan monarki dan berhadapan dengan kecurangan suaminya. - Reuters

2688 dibaca
Berita Harian X