Selasa, 26 Disember 2017 | 11:18pm
PENDAKWA raya Perancis sudah membuka siasatan terhadap pencemaran salmonella dalam susu tepung bayi. - Foto AFP

Perancis siasat salmonella dalam susu Lactalis

PARIS: Pendakwa raya Perancis sudah membuka siasatan terhadap pencemaran salmonella dalam susu tepung bayi dihasilkan syarikat tenusu terkenal, Lactalis.

Sumber perundangan berkata, siasatan akan memfokuskan dakwaan pada produk menyebabkan kecederaan tidak sengaja dan membahayakan nyawa individu lain serta penipuan dan kegagalan menarik balik produk.

Laporan mengenai kira-kira 20 kanak-kanak jatuh sakit selepas mengambil susu tepung Lactalis, yang dijual menggunakan beberapa jenama berbeza di Perancis dan luar negara, termasuk Picot dan Milumel, muncul kali pertama pada awal bulan lalu.

Syarikat itu, satu daripada pengeluar terbesar produk tenusu dunia, mengarahkan penarikan balik besar-besaran ke atas hampir 7,000 tan paket dihasilkan kilang tercemar di Craon, barat laut Perancis, 10 Disember lalu.

Penarikan balik produk dilakukan pada 21 Disember lalu dan turut membabitkan pengguna di China, Pakistan, Bangladesh, Britain serta Sudan.

Gejala dijangkiti salmonella, termasuk cirit-birit teruk, kejang perut dan muntah, berbahaya kepada kanak-kanak dan warga emas kerana menyebabkan dehidrasi teruk. - AFP

Berita Harian X