Selasa, 20 Februari 2018 | 10:12pm
KETUA Polis Israel Roni Alsheich (tengah) bercakap kepada anggota parlimen pada di Jerusalem. - Foto AFP
KETUA Polis Israel Roni Alsheich (tengah) bercakap kepada anggota parlimen pada di Jerusalem. - Foto AFP

Sekutu rapat PM Israel ditahan kes rasuah

BAITULMAQDIS: Polis Israel hari ini mendedahkan sudah menahan pemegang saham dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat telekom terbesar wilayah itu berkaitan satu kes rasuah.

Turut ditahan adalah dua bekas pegawai yang ada hubungan rapat dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Penangkapan dalam siasatan dinamakan 'Kes 4000' dibuat beberapa hari selepas polis mencadangkan Netanyahu sendiri didakwa kerana rasuah dan menipu dalam kes lain dikenali sebagai '1000' dan '2000'.

Rakan keluarga Netanyahu, Shaul Elovitch, yang memiliki firma telekom Bezeq, ditahan bersama-sama isteri, anak lelaki dan CEO Bezeq, Stella Handler.

Bekas jurucakap Netanyahu, Nir Hefetz dan bekas Ketua Pengarah Kementerian Komunikasi Israel, Shlomo Filber, yang dikenali sebagai rakan rapat Perdana Menteri rejim itu, juga ditahan.

Semua tangkapan dibuat kelmarin, tetapi identiti suspek dirahsiakan selama dua hari menurut prosedur jenayah Israel.

Netanyahu, yang kini dalam penggal keempat, menafikan sebarang salah laku dalam pelbagai siasatan yang mengancam penguasaan politiknya. - Reuters

Berita Harian X