Jumaat, 23 Februari 2018 | 1:34am
MENTERI Luar Russia, Sergei Lavrov. - Foto EPA-EFE
MENTERI Luar Russia, Sergei Lavrov. - Foto EPA-EFE

Pemberontak tolak tawaran keluar dari Ghouta: Russia

BELGRADE: Moscow hari ini berkata, pejuang di wilayah terkepung Syria di Timur Ghouta menolak tawaran Russia untuk keluar secara aman dan sebaliknya menggunakan orang awam di sana sebagai perisai manusia.

Amerika Syarikat (AS), kumpulan hak asasi dan media prokerajaan Syria berkata, Russia mengambil bahagian dalam serangan udara yang mengorbankan lebih 350 orang di wilayah itu dalam tempoh lima hari, namun Moscow menafikannya.

"Beberapa hari lalu, tentera kami di Syria memberitahu pejuang mereka boleh berundur secara aman dari Timur Ghouta, seperti mana pemindahan pejuang dan keluarga mereka yang dilakukan di Timur Aleppo.

"Barisan Al-Nusra dan sekutunya menolak cadangan itu dan terus menyerang bandar dari kedudukan mereka, menggunakan penduduk awam di Timur Ghouta sebagai perisai manusia," kata Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov dalam sidang media di sini.

Lavrov menambah, Russia bersedia menimbang satu draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menuntut gencatan senjata 30 hari di Syria selagi ia tidak memasukkan militan Daesh atau Barisan Al-Nusra, sekutu Al-Qaeda di Syria.

Tentera rejim dan sekutunya melancarkan serangan habis-habisan di sekitar Timur Ghouta, dianggarkan didiami 400,000 penduduk, sebelum tentangan darat untuk mengusir kumpulan pemberontak dan militan.

Rundingan untuk perjanjian antara rejim dan kumpulan bersenjata mengawal Ghouta jelas terhenti. -AFP

Berita Harian X