Khamis, 26 April 2018 | 11:00am
KETUA Pegawai Eksekutif Air France-KLM, Jean-Marc Janaillac. - Foto AFP
KETUA Pegawai Eksekutif Air France-KLM, Jean-Marc Janaillac. - Foto AFP

Kesatuan sekerja Air France umum tarikh baru mogok

PARIS: Tiga kesatuan sekerja juruterbang Air France mengumumkan tarikh mogok baru pada 3, 4, 7 dan 8 Mei ini dalam pusingan terbaru perbalahan mengenai bayaran gaji dengan syarikat penerbangan kebangsaan Perancis itu.

"Kita perlu terus meningkatkan tekanan bagi tuntutan kenaikan gaji," kata kesatuan sekerja itu dalam kenyataan, menambah objektif mereka adalah untuk 'menandatangani perjanjian yang munasabah bagi semua orang.'

Pengumuman mogok baru itu, selepas 11 hari mogok sebelum ini, didesak oleh kesatuan sekerja mewakili pekerja daripada juruterbang dan kru kabin sehingga kakitangan pejabat, dibuat menjelang rundingan syarikat mengenai cadangan gaji dikemukakan pihak pengurusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Air France-KLM, Jean-Marc Janaillac, minggu lalu mengancam akan meletak jawatan jika kakitangan Air France terus menolak cadangan kenaikan gaji.

Kakitangan dan pengurusan Air France terperangkap dalam perbalahan berhubung gaji sejak Februari lalu.

Kesatuan sekerja berkata, pekerja berhak mendapat manfaat selepas beberapa tahun tidak mendapat kenaikan yang memberikan keuntungan kepada syarikat, selepas melihat bayaran mereka dibekukan sejak 2011.

Pengurusan berkata, ia tidak mampu memenuhi tuntutan kenaikan 5.1 peratus tahun ini, sebaliknya menawarkan peningkatan dua peratus bagi 2018, dengan lima peratus lagi antara 2019 dan 2021. - AFP

Berita Harian X