Khamis, 24 Mei 2018 | 5:23pm

Peluru berpandu BUK milik tentera Russia

UTRECHT: Penyiasat yang menyiasat nahas membabitkan pesawat MH17 pada 2014, hari ini berkata peluru berpandu yang digunakan menembak kapal terbang itu di timur Ukraine datang daripada briged tentera Russia.

Pasukan Siasatan Bersama 'merumuskan bahawa BUK-TELAR yang menembak jatuh MH17 datang daripada Briged ke-53 Peluru Berpandu Anti-pesawat berpangkalan di Kursk, Russia, kata penyiasat Belanda, Wilbert Paulissen.

"Briged ke-53 membentuk sebahagian tentera Russia," katanya kepada wartawan pada sidang akhbar di Belanda.

Pesawat milik Malaysian Airlines itu ditembak jatuh di timur Ukraine yang bergolak pada 17 Julai 2014, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Semua 298 penumpang dan kru, kebanyakannya rakyat Belanda, maut dalam nahas itu.

Rakyat 17 negara berada dalam pesawat termasuk Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.

Penyiasat sebelum ini merumuskan pesawat itu ditembak sistem peluru berpandu BUK buatan Russia yang dibawa masuk dari negara itu dan ditembak dari wilayah Ukraine yang dikuasai pemberontak disokong Moscow.

Namun mereka tidak menyatakan pihak yang melakukan bedilan.

Kini, pasukan itu melakukan semula laluan diambil konvoi peluru berpandu dari Kursk ke arah sempadan memasuki Ukrain menggunakan video dan gambar.

"Kami yakin siasatan kami mewajarkan rumusan bahawa BUK-TELAR yang digunakan datang daripada Briged ke-53 yang juga sebahagian tentera Persekutuan Russia," katanya.

Moscow berulang kali menafikan sebarang pembabitan dalam menembak jatuh pesawat Boeing 777 itu, sebaliknya menyalahkan Kiev. - AFP

Berita Harian X