Sabtu, 26 Mei 2018 | 10:15am
HAMPIR 1,500 pendatang berjaya diselamatkan dari Lautan Mediterranean sejak dua hari lalu. - Foto EPA
HAMPIR 1,500 pendatang berjaya diselamatkan dari Lautan Mediterranean sejak dua hari lalu. - Foto EPA

1,500 pendatang diselamatkan dari Lautan Mediterranean

ROME: Hampir 1,500 pendatang berjaya diselamatkan dari Lautan Mediterranean sejak dua hari lalu dalam operasi yang membabitkan kapal tentera laut Itali dan kapal disewa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi sempadan Kesatuan Eropah (EU), dikenali sebagai Frontex.

Tujuh operasi berasingan semalam yang dikendalikan pengawal pantai Itali berjaya menyelamatkan 1,050 pelarian semasa mereka cuba memasuki sempadan Eropah.

NGO dari Jerman, Sea-Watch dan Sea-Eye berkata, mereka berjaya menyelamatkan separuh daripada 450 pelarian yang menaiki tiga kapal dengan muatan berlebihan.

Sewaktu pelarian dari bot ketiga itu sedang diselamatkan, sebuah bot pengawal keselamatan Libya datang ke lokasi, menyebabkan beberapa pendatang berkenaan terjun ke dalam laut untuk mengelakkan dari dibawa pulang ke Libya. Kapal terbabit bagaimanapun berada agak jauh dari mereka, sekali gus membolehkan kerja-kerja menyelamat dilakukan kedua-dua NGO berkenaan.

Sejak beberapa bulan lalu, pengawal pantai Libya bertanggungjawab menjadikan bilangan operasi menyelamat semakin meningkat dan kadang kala turut terbabit menghantar pelarian berkenaan pulang semula ke negara itu.

Pada Khamis lalu, tentera laut Itali menyelamatkan 69 pendatang manakala bot tentera laut Portugia yang mengambil bahagian dalam operasi anti pemerdagangan Frontex, dikenali sebagai Operasi Triton menyelamatkan 296 yang lain.

Menurut Pertubuhan Pendatang Antarabangsa (IOM), jumlah terbaru itu adalah tambahan kepada 10,800 pelarian yang sudah berdaftar di Itali sejak permulaan tahun 2018. - AFP

Berita Harian X