Selasa, 17 Julai 2018 | 7:04pm
Skrin yang memaparkan konsep teksi udara Rolls-Royce EVTOL semasa Pertunjukan Udara Farnborough, di barat daya London. - Foto AFP
Skrin yang memaparkan konsep teksi udara Rolls-Royce EVTOL semasa Pertunjukan Udara Farnborough, di barat daya London. - Foto AFP

Rolls-Royce rancang bina teksi terbang

FARNBOROUGH: Pembuat enjin British, Rolls-Royce merancang untuk membangunkan sebuah kenderaan elektrik hibrid yang dinamakan sebagai 'teksi terbang'.

Kenderaan itu mampu berlepas atau melakukan mendarat secara menegak dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun akan datang.

Syarikat gergasi aeroangkasa itu disenaraikan dalam pasaran saham di London dan berpangkalan di Derby, tengah England.

Ia mengumumkan rancangan itu untuk kali pertama dalam Pertunjukan Udara Farnborough, ketika peserta industri lain turut berpusu-pusu ke dalam segmen kereta terbang.

Rolls-Royce berkata, ia berharap untuk membina versi prototaip kenderaan berlepas dan mendarat secara menegak (EVTOL) itu dalam tempoh 18 bulan akan datang dan mungkin mengujinya pada awal 2020-an.

Pesawat EVTOL Rolls-Royce akan mempunyai kapasiti tempat duduk untuk empat hingga lima orang dengan jarak penerbangan sejauh 805 kilometer dan kelajuan maksimum 808 kilometer sejam.

"Dalam pasaran sebegini, kami akan menyaksikan kenderaan seumpamanya akan mula terbang dalam tempoh tiga ke lima tahun lagi. Kami akan melakukan demonstrasi sistem ini dalam tempoh dua tahun lagi.

"Pada hujung tahun depan, kenderaan ciptaan kami akan sedia untuk diterbangkan," kata ketua pasukan elektrik Rolls-Royce, Rob Watson. - AFP

Berita Harian X