Ahad, 12 Ogos 2018 | 8:32pm
PANCARAN tahi bintang (meteor) menyinari ruang langit di Sand Pyramids. - Foto Reuters

Hujan meteor menyinari langit Bosnia

FOCA: Pancaran tahi bintang (meteor) menyinari ruang langit di timur Bosnia malam semalam, memberi peluang keemasan kepada pengkaji bintang melihatnya dengan mata kasar.

“Saya fikir semua orang perlu melihat fenomena ini,” kata Miralem Mehic, warga Bosnia daripada kumpulan pengkaji bintang antarabangsa yang menyaksikan pertunjukan cahaya itu di Sand Pyramids, kawasan di mana pasir membentuk tiang secara semula jadi, berhampiran bandar ini.

Pancaran tahi bintang digelar ‘Perseids’ dapat dilihat di langit setiap Ogos dan terbaik disaksikan di hemisfera utara di kawasan terpencil di mana sedikit pencemaran cahaya.

Fenomena itu terjadi apabila bumi melalui serpihan Komet 109P/Swift-Tuttle, yang ditemui pada 1862.

Meteor adalah sebahagian daripada batu dan debu yang melanggar atmosfera bumi, memanas dan bersinar. Kebanyakannya mengewap ketika turun namun sesetengahnya meletup.

“Tahun ini bulan masih muda dan ia tidak akan mengganggu pandangan, jadi kita boleh melihat 100 ‘pancaran bintang’ dalam tempoh sejam,” kata anggota Sarajevo Orion, sebuah persatuan astrologi, Muhamed Muminovic. -Reuters

Berita Harian X