Isnin, 27 Ogos 2018 | 4:28pm

Tandas kotor, kurang air bersih masalah seluruh dunia

LONDON: Sekurang-kurangnya 900 juta pelajar menghadapi risiko dijangkiti penyakit dan ada yang tidak pergi ke sekolah kerana hampir separuh sekolah di seluruh dunia menghadapi masalah tandas kotor, kekurangan air bersih dan kemudahan mencuci tangan, kata pakar, di sini hari ini.

“Anda tidak akan dapat memiliki suasana pembelajaran bermutu tanpa semua kemudahan asas ini,” kata Dr Rick Johnston yang mengetuai penyelidikan bagi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Ada kanak-kanak mungkin tidak mahu ke sekolah kerana ketiadaan tandas. Kemudian, jika mereka berada di sekolah, mereka tidak berada dalam suasana baik kerana tidak dapat menggunakan tandas atau kekurangan air minum,” katanya lagi.

Pemimpin dunia sudah menandatangani ikrar menyediakan air bersih dan kemudahan kebersihan bagi semua pihak dan memastikan setiap pelajar menerima pelajaran komprehensif menjelang 2030 mengikut matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kekurangan air dan kemudahan kebersihan boleh menjejaskan kesihatan termasuk membawa maut tetapi ramai pelajar sekolah menghadapi risiko itu, menurut laporan bersama Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa (UNICEF) dan WHO yang menjalankan kajian awal tahun ini.

Ia mendapati, satu pertiga sekolah rendah dan menengah kekurangan air bersih dan ini membabitkan 570 juta kanak-kanak manakala lebih sepertiga sekolah kekurangan tandas, membabitkan lebih 620 juta pelajar.

Selain itu, hampir satu setiap lima sekolah rendah dan satu setiap lapan sekolah menengah dikelaskan sebagai tidak memiliki sistem atau kemudahan kebersihan seperti kelengkapan membasuh tangan, membabitkan hampir 900 juta kanak-kanak.

Masalah kekurangan kemudahan ini paling meluas di rantau Sub-Sahara Afrika, Asia Timur dan Asia Tenggara.

Remaja perempuan yang sudah akil baligh terutamanya terpaksa ponteng kelas apabila datang haid kerana ketiadaan kemudahan itu dan ia membabitkan lebih sepertiga pelajar perempuan di sekolah rantau Asia Selatan, kata Tim Wainwright, Ketua Eksekutif badan kebajikan WaterAid. - Reuters

Berita Harian X