Isnin, 27 Ogos 2018 | 5:09pm
MIN Aung Hlaing. - Foto fail AFP
MIN Aung Hlaing. - Foto fail AFP

Pemimpin tentera Myanmar perlu didakwa - PBB

GENEVA: Kumpulan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa siasatan antarabangsa dan pertuduhan terhadap ketua tentera serta lima pemimpin tertinggi dilakukan atas kesalahan pembunuhan beramai-ramai kumpulan etnik Islam Rohingya.

“Beberapa pemimpin tertinggi Myanmar, termasuk Ketua Komander Kanan, Min Aung Hlaing, perlu disiasat dan didakwa atas kesalahan melakukan pembunuhan beramai-ramai di utara negeri Rakhine, termasuk jenayah kemanusiaan di negeri Rakhine, Kachin dan Shan,” kata kumpulan misi pencarian fakta PBB.

Myanmar dengan tegas menafikan tuduhan melakukan pembersihan etnik, sebaliknya memberi alasan ia sebagai tindak balas terhadap serangan pemberontak Rohingya.

Bagaimanapun, laporan hari ini mendedahkan, taktik tentera secara konsisten dan tidak seimbang dengan ancaman keselamatan sebenar.

Misi yang ditubuhkan Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Mac 2017, merumuskan dalam laporan terdapat maklumat yang mencukupi untuk membenarkan penyiasatan dan pendakwaan terhadap pegawai kanan tentera Myanmar.

“Jenayah di Rakhine, dan perbuatan mereka adalah serupa dengan tindakan golongan yang membenarkan pembunuhan beramai-ramai dilakukan dalam konteks lain,” kata laporan itu.

Pada masa sama, kritikan turut ditujukan kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang juga pemenang hadiah Nobel Keamanan.

Beliau menjadi sasaran rasa sakit hati dunia kerana kegagalan memperjuangkan hak kumpulan minoriti yang tidak memiliki kerakyatan itu.

Laporan itu mendapati, dia tidak menggunakan kedudukan ‘de facto’ sebagai ketua kerajaan atau kuasanya untuk mengekang atau mencegah tindakan itu.

Kira-kira 700,000 etnik Islam Rohingya melarikan diri dari utara Rakhine ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan tindakan keras pada Ogos lalu terhadap kumpulan pemberontak, dengan melakukan pembunuhan dan merogol. - AFP

Berita Harian X