Isnin, 10 September 2018 | 9:36pm
BAN Ki-moon (kiri) dan Bill Gates.

Ban Ki-moon, Bill Gates ketuai suruhanjaya perubahan iklim

THE HAGUE: Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan pengasas Microsoft Corporation, Bill Gates dilantik mengetuai suruhanjaya antarabangsa mengenai perubahan iklim.

Kerajaan Belanda ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, suruhanjaya itu bakal dilancarkan bulan depan.

“Suruhanjaya itu akan bekerjasama dengan Global Center on Adaptation dan Belanda akan bertindak sebagai tuan rumah bersama World Resources Institute.

“Ia bertujuan meningkatkan keyakinan negara di seluruh dunia untuk mengambil pendekatan sewajarnya sebagai persiapan menghadapi perubahan iklim,” kata Menteri Infrastruktur dan Pengurusan Air Belanda, Cora van Nieuwenhuizen.

Operasi suruhanjaya yang berpangkalan di Rotterdam itu akan dipantau Ketua Pegawai Eksekutif Bank Dunia, Kristalina Georgieva, bagi mempercepatkan perubahan oleh pertubuhan berkaitan kerajaan, sektor awam dan swasta.

Pengumuman itu dibuat dua hari selepas bantahan besar-besaran di seluruh dunia mengenai perubahan iklim.

Ki-moon, Gates dan Georgieva dijangka mengunjungi Belanda pada 16 Oktober ini bagi menghadiri persidangan sempena pelancaran suruhanjaya berkenaan. - AFP

Berita Harian X