Rabu, 12 September 2018 | 3:46pm
PEMIMPIN ERG, Jacob Rees-Mogg. - Foto Reuters
PEMIMPIN ERG, Jacob Rees-Mogg. - Foto Reuters

50 anggota Konservatif bincang jatuhkan PM Britain

LONDON: Seramai 50 ahli perundangan Parti Konservatif yang menentang pelan pemimpin mereka yang juga Perdana Menteri Britain, Theresa May, dalam isu Brexit, telah berbincang mengenai cara dan bila untuk menggulingkan beliau.

Ahli perundangan terbabit membantah pelan May untuk mencapai persetujuan dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam isu Brexit, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), hari ini.

Mereka adalah anggota Kumpulan Penyelidikan Eropah (ERG), sebuah kumpulan anti-EU dalam Parti Konservatif.

Ahli perundangan itu bermesyuarat semalam dan secara terbuka berbincang mengenai masa depan May sebagai pemimpin parti itu, kata BBC yang memetik sumber.

Beberapa daripada mereka sudah menyerahkan surat menyatakan tidak yakin dengan kepemimpinan May pada Mei lalu.

Mengikut peraturan parti itu, satu pilihan raya memilih pemimpin boleh berjalan jika 15 peratus daripada ahli perundangannya - ketika ini 48 daripada 315 anggota Konservatif di Parlimen - mengemukakan usul tidak percaya kepada kepemimpinannya.

ERG mengecam rancangan Mei untuk Britain kekal dalam zon perdagangan bebas dengan EU jika meninggalkan blok itu pada Mac tahun depan.

Bagaimanapun, mereka juga menghadapi kritikan kerana tidak pula mengemukakan pelan alternatif.

Pemimpin ERG, Jacob Rees-Mogg berkata bahawa kumpulannya akan mendedahkan cadangan mereka hari ini iaitu bagaimana Britain boleh keluar dari EU tanpa mewujudkan sempadan dengan peraturan ketat di antara Ireland Utara dan Ireland, antara masalah yang menghadang persetujuan mengenai Brexit dengan EU. - Reuters

Berita Harian X