Selasa, 18 September 2018 | 3:14pm

6 juta kanak-kanak meninggal dunia tahun lalu

LONDON: Enam juta kanak-kanak di seluruh dunia meninggal dunia tahun lalu kerana penyakit yang boleh dicegah dan komplikasi lain, kata UNICEF, sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Angka itu sama dengan bilangan kematian pada tahun 2000 apabila masyarakat antarabangsa menyokong matlamat ke arah membasmi kemiskinan tegar.

Pemimpin dunia meluluskan Matlamat Pembangunan Alaf Baru (MDG) pada tahun 2000 di mana 11.2 juta kanak-kanak di bawah usia 15 tahun maut disebabkan penyakit yang sepatutnya boleh dihalang selain disebabkan kekurangan air, zat makanan dan ketika kelahiran.

Bilangan kematian menurun kepada 6.3 juta pada 2017 - atau seorang kanak-kanak meninggal dunia setiap lima saat - kata UNICEF yang mengeluarkan laporan bersama agensi lain dan Bank Dunia.

Kebanyakan kematian tahun lalu -5.4 juta - membabitkan kanak-kanak di bawah usia lima tahun, kata laporan itu.

Ia juga mendapati bahawa bayi di kawasan sub-Sahara Afrika atau di Asia Selatan adalah sembilan kali ganda berkemungkinan meninggal dunia ketika dilahirkan berbanding di negara kaya.

Angka kematian kanak-kanak itu amat berbeza berbanding 1990 apabila 12.6 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun maut atas sebab yang boleh dicegah.

“Berjuta-juta bayi dan kanak-kanak tidak sepatutnya maut setiap tahun kerana kekurangan akses kepada air, kebersihan, zat makanan tidak mencukupi atau (ketiadaan) perkhidmatan kesihatan,” kata pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Princess Simelela. - Reuters

Berita Harian X