Selasa, 25 September 2018 | 7:43am
PAKAR arkeologi menemui bangkai sebuah kapal berusia 400 tahun, dipercayai karam berhampiran Lisbon di sekitar perairan Portugal. - Foto Reuters

Kapal berusia 400 tahun ditemui di perairan Portugal

CASCAIS (PORTUGAL): Pakar arkeologi yang menjalankan pencarian di sekitar perairan Portugal menemui bangkai sebuah kapal berusia 400 tahun, dipercayai karam berhampiran Lisbon selepas pulang dari India dengan membawa muatan rempah.

Pengarah projek, Jorge Freire berkata, penemuan berkenaan dianggap yang terbesar dalam dekad ini jika dilihat dari aspek warisan.

“Di Portugal, ia adalah penemuan terpenting setakat ini,” katanya.

Di dalam dan sekitar kapal berkenaan yang terletak 12 meter di bawah permukaan air, penyelam menemui pelbagai jenis rempah, sembilan meriam gangsa dengan tulisan Portugis, seramik China dan siput gerus, iaitu sejenis mata wang yang digunakan bagi perdagangan hamba semasa era kolonial.


PAKAR arkeologi menemui bangkai sebuah kapal berusia 400 tahun, dipercayai karam berhampiran Lisbon di sekitar perairan Portugal. - Foto Reuters

Ditemui pada 3 September lalu di perairan Cascais iaitu sebuah tempat peranginan di luar bandar Lisbon, bangkai kapal itu dan semua objek di dalamnya masih terpelihara dengan baik, kata Freire.

Freire dan pasukannya percaya kapal berkenaan karam antara tahun 1575 dan 1625, iaitu pada zaman kemuncak perdagangan rempah membabitkan Portugal dengan India.

Pada tahun 1994, kapal Portugis ‘Our Lady of the Martyrs’ ditemui berhampiran Fort of Sao Julio da Barra, sebuah kompleks pertahanan tentera berhampiran Cascais. - Reuters

Berita Harian X