Ahad, 30 September 2018 | 8:50am
Perdana Menteri Britain, Theresa May tiba untuk Persidangan Konservatif di Birmingham, Britain. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Britain, Theresa May tiba untuk Persidangan Konservatif di Birmingham, Britain. - Foto REUTERS

Jangan mempolitikkan masa depan negara - May

LONDON: Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri Theresa May memulakan perhimpunan sempena sidang kemuncak tahunan semalam dengan perbalahan berhubung pelan Brexit pemimpin itu semakin memuncak, meningkatkan keraguan mengenai masa depannya.

Britain dijangka meninggalkan Kesatuan Eropah pada 29 Mac 2019, tetapi syarat pengunduran masih samar.

May, yang berhadapan kritikan di Brussels, pembangkang di negaranya dan beberapa ahli perundangan parti sendiri, berkata rundingan mengenai perjanjian perpisahan itu menemui jalan buntu.

Dalam temubual dengan akhbar Sunday Times menjelang sidang kemuncak parti itu, May menyelar mereka yang mengejek cadangan ‘Chequers’, menuduh mereka mempolitikkan masa depan Britain dan memandang ringan kepentingan negara.

Bagaimanapun, dalam menonjolkan cabaran yang dihadapi May, akhbar itu menyiarkan temubual dengan bekas Menteri Luar, Boris Johnson di muka depannya yang menunjukkan beliau secara terbuka mempersoalkan komitmen May kepada Brexit dan menyifatkan rancangan itu ‘gila’.

“Tidak seperti Perdana Menteri, saya berkempen untuk Brexit. Tidak seperti beliau, saya berjuang untuk itu, saya percayakan ia.

“Saya rasa ia baik untuk negara dan saya rasa apa yang berlaku sekarang, bukan apa yang dijanjikan kepada rakyat pada 2016,” kata Johnson, yang menjadi calon kegemaran menggantikan May.

Namun kelmarin, Johnson enggan menjawab secara terbuka sama ada beliau menolak untuk mencabar May. — Reuters

Berita Harian X