Sabtu, 13 Oktober 2018 | 7:21am
Pegawai Arab Saudi meninggalkan konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki susulan perkembangan kehilangan wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi selepas melawat konsulat Saudi di Istanbul. - Foto EPA
Pegawai Arab Saudi meninggalkan konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki susulan perkembangan kehilangan wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi selepas melawat konsulat Saudi di Istanbul. - Foto EPA

Arab Saudi mula siasat kehilangan Jamal Khashoggi di Turki

ISTANBUL: Satu delegasi dari Arab Saudi dilaporkan sudah tiba di Turki bagi menyertai pasukan siasatan bersama berhubung kehilangan wartawan, Jamal Khashoggi.

Menurut sumber, anggota kanan keluarga diraja, Putera Khaled Al-Faisal turut mengunjungi Turki pada Khamis lalu, bagi mengadakan perbincangan mengenai kejadian itu.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara bersetuju mewujudkan satu kumpulan kerjasama, iaitu hasil inisiatif Riyadh untuk menyiasat kes berkenaan.

Agensi berita Arab Saudi, SPA, yang memetik pegawai kanan negara itu, dalam laporannya turut mengalu-alukan kesediaan Turki memenuhi permintaan Riyadh untuk menubuhkan pasukan terbabit.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika memberitahu pemberita di Ohio, berkata beliau belum menghubungi Raja Arab Saudi, Raja Salman bagi membincangkan isu kehilangan Jamal Khashoggi, tetapi akan segera berbuat demikian.

“Ia adalah satu perkara yang penting dan kami amat memandang serius kejadian ini,” kata Trump.

Jamal dilaporkan mengunjungi konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu, untuk memperoleh dokumen bagi membolehkannya berkahwin dengan tunangnya.

Bagaimanapun, tunangnya yang menunggu di luar konsulat itu berkata, beliau tidak keluar dari bangunan konsulat. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X