Khamis, 25 Oktober 2018 | 5:09pm
Jenama Samsung Galaxy Note 4. - Foto androidcentral.com

Itali denda Apple, Samsung, perlahankan fungsi telefon

ROME: Pihak berkuasa persaingan Itali (AGCM) berkata semalam, ia mendenda syarikat Apple dan Samsung masing-masing sebanyak 10 juta euro dan lima juta euro (RM47.59 juta dan RM23.79 juta) terhadap apa yang disifatkan ‘rancangan melambatkan’ telefon pintar mereka.

Keputusan itu dipercayai yang pertama terhadap pengeluar terbabit susulan tuduhan meluas mereka menggalakkan kemas kini sistem operasi untuk telefon lama yang melambatkannya, justeru menggalakkan pelanggan membeli telefon baharu.

Satu kenyataan berkata, dua ‘siasatan rumit’ oleh pihak berkuasa anti-kepercayaan AGCM mendedahkan, Apple dan Samsung masing-masing melakukan amalan komersial tidak adil.

“Dua syarikat mendorong pengguna memasang kemas kini perisian yang tidak disokong secukupnya oleh peranti mereka, tanpa memaklumkan mereka atau memberi mereka cara berkesan memulihkan fungsi penuh peranti,” kata AGCM.

Kemas kini sistem operasi ‘mencetuskan kegagalan serius dan secara ketara mengurangkan prestasinya, dalam situasi ini mempercepatkan penggantian dengan produk lebih terkini.’

ACGM berkata, Samsung ‘bersungguh-sungguh mencadangkan’ pemilik telefon Note 4 keluaran 2014 untuk memasang versi baharu sistem operasi Android Google yang sebenarnya sesuai untuk Note 7 yang terkini.

“Namun ia dibuat tanpa memaklumkan mereka berhubung kegagalan serius perisian kekal yang mungkin dicetuskan berikutan perkakasan peranti dan memohon kos pembaikan lebih mahal untuk waranti lupus berikutan kerosakan seperti itu,” katanya.

Begitu juga Apple, ‘bersungguh-sungguh mencadangkan’ pemilik iPhone 6 supaya memasang sistem operasi direka untuk iPhone 7, tanpa memberi amaran kepada pelanggan, pemasangannya mungkin mengurangkan kelajuan dan fungsi peranti.’

Satu kenyataan Samsung berkata, ia akan merayu hukuman denda itu kerana syarikat ‘tidak mengeluarkan sebarang kemas kini perisian yang mengurangkan prestasi Galaxy Note 4.’

“Sebaliknya, Samsung sentiasa mengeluarkan kemas kini perisian membolehkan pelanggan menikmati pengalaman terbaik,” katanya sambil memberi jaminan akan bekerja sama dengan pihak berkuasa Itali. -AFP

Berita Harian X