Jumaat, 26 Oktober 2018 | 8:05am
PERSALINAN persalinan perkahwinan lengkap dipamerkan di dalam kotak kaca besar di Grand Reception Room, Istana Windsor. - Foto Reuters

Harry, Meghan pamer persalinan perkahwinan

WINDSOR: Gaun Perkahwinan Meghan Markle akan dipamerkan di Istana Windsor bermula hari ini. Ia sebahagian daripada pameran terbaru mengenai perkahwinannya dengan Putera Britain, Putera Harry pada Mei lalu.

Gaun lengan panjang rona putih dengan potongan bot di leher itu adalah rekaan pengarah seni British dari rumah fesyen Givenchy Perancis, Claire Waight Keller.

Ia menjadi pilihan Meghan untuk majlis perkahwinan pada 19 Mei lalu di Windsor, satu acara yang disaksikan berjuta-juta peminat di seluruh dunia.

Kini bergelar Duchess of Sussex, Meghan turut mengenakan kain layah sepanjang lima meter dengan hiasan bunga jahitan tangan melambangkan 53 negara Komanwel, berserta tiara bertatah berlian yang dipinjamkan oleh Ratu Elizabeth.

Persalinan lengkap, termasuk kasut Meghan, dipamerkan di dalam kotak kaca besar bersama-sama versi sama seragam lengkap Household Cavalry yang dipakai Harry, di Grand Reception Room, Istana Windsor, antara bilik yang digunakan untuk meraikan majlis perkahwinan.

Pameran bertajuk “A Royal Wedding: The Duke and Duchess of Sussex” dibuka mulai hari ini di Istana Windsor sehingga Januari depan. - Reuters

Berita Harian X