Selasa, 30 Oktober 2018 | 1:09am
PENCEMARAN udara membunuh anggaran 600,000 kanak-kanak setiap tahun. - Foto hiasan

Pencemaran udara bunuh 600,000 kanak-kanak setiap tahun: WHO

GENEVA: Pencemaran udara membunuh anggaran 600,000 kanak-kanak setiap tahun dan menyebabkan pelbagai gejala daripada hilang kecerdasan kepada obesiti dan jangkitan telinga tetapi tidak banyak dapat dilakukan ibu bapa, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

Ibu bapa perlu cuba mengelakkan pencemaran udara dalam rumah dengan menggunakan bahan bakar kurang menyebabkan keadaan itu untuk memasak dan pemanas dan tidak merokok.

Namun untuk mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada pencemaran, mereka perlu melobi ahli politik supaya membersihkan alam sekitar, kata pakar WHO.

“Pencemaran udara meracun jutaan kanak-kanak dan merosakkan kehidupan mereka.

“Perkara ini tidak boleh dimaafkan. Setiap kanak-kanak sepatutnya berpeluang menghidu udara bersih supaya dapat membesar dan memenuhi potensi mereka sepenuhnya,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam kenyataan.

Sebahagian besar Asia, Afrika dan Amerika Latin antara paling teruk terjejas.

Laporan WHO, ‘Memastikan udara bersih’, merumuskan pengetahuan saintifik terkini mengenai kesan pencemaran udara ke atas kanak-kanak yang menjejaskan kira-kira 93 peratus golongan itu di seluruh dunia. — Reuters

Berita Harian X