Khamis, 22 November 2018 | 7:41am
Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman menghadiri sesi Majlis Shura di Riyadh, Arab Saudi. - Foto REUTERS

Desakan hukum Putera Mahkota 'perbuatan terlarang' - Arab Saudi

LONDON : Desakan untuk Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dihukum dalam pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi adalah satu ‘perbuatan terlarang’.

Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir dalam wawancara bersama BBC semalam berkata, sebarang perbincangan yang mengecam Putera Mohammed dan ayahandanya iaitu pemerintah Arab Saudi tidak boleh diterima sama sekali.

“Di Arab Saudi, kepimpinan pemerintah adalah ‘perkara larangan’. Penjaga dua masjid suci (Raja Salman) dan putera mahkota adalah ‘perkara larangan’. Baginda berdua mewakili setiap rakyat dan setiap rakyat mewakili baginda. Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perbincangan yang mengecam institusi Diraja atau putera mahkota,” katanya.

Khashoggi, pemastautin Amerika Syarikat (AS) yang menulis untuk akhbar The Washington Post dan pengkritik tegar Putera Mohammed dibunuh di konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober lalu sebelum mayatnya dipercayai dilupuskan.

Selepas penafian untuk beberapa lama, pihak berkuasa Arab Saudi mengaku bertanggungjawab dan menahan 21 individu namun analisis Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang berjaya diketahui media AS menuding jari ke arah Putera Mohammed.

Jubeir menegaskan bahawa Putera Mohammed tidak terbabit dalam pembunuhan itu.

“Kami sudah menegaskan secara jelas. Siasatan sedang berjalan dan individu bertanggungjawab akan dihukum,” katanya.

Beliau turut menggesa Turki tampil bersama bukti pembunuhan dan berhenti membocorkan semua maklumat.

Menteri Luar itu berkata lagi, pembunuhan berkenaan adalah operasi jenayah oleh pegawai perisik. - AFP

Berita Harian X