Jumaat, 21 Disember 2018 | 9:30am
Kenderaan polis kelihatan berada berhampiran landasan Lapangan Terbang Gatwick yang ditutup selepas dilaporkan dron berterbangan di kawasan tersebut menyebabkan ribuan penumpang terkandas. - Foto REUTERS

Tentera bantu operasi kesan dron di lapangan terbang Gatwick

LONDON: Kerajaan Britain mengerah pasukan tentera ke Lapangan Terbang Gatwick bagi mengesan puluhan dron yang dilaporkan berada di lapangan terbang itu, yang ditutup sejak semalam, sekali gus mengakibatkan ribuan penumpang terkandas.

Satu-satunya landasan di lapangan terbang itu ditutup malam kelmarin, selepas pihak berkuasa menerima laporan mengenai dua dron berada di pangkalan udara itu, namun ia masih gagal dibuka apabila beberapa lagi dron didapati terbang di kawasan itu.

“Landasan lapangan terbang Gatwick masih tidak boleh digunakan kerana dron dilihat berada di kawasan ini,” kata jurucakap lapangan terbang kira-kira jam 11 malam (waktu tempatan), semalam.

Polis dan pihak berkuasa lapangan terbang percaya kehadiran dron bertujuan menjejaskan operasi lapangan terbang itu.

Menurut pihak polis, sebuah dron yang berukuran luar biasa besarnya, dilihat terbang lebih 50 kali di lapangan terbang itu dalam tempoh 24 jam.

“Kami percaya ia (dron) sudah diubahsuai,” kata Ketua Superintendan, Jason Tingley mengenai peranti itu dan menjelaskan bahawa pegawainya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup bagi mengenalpasti model dron berkenaan.

Katanya, pihak berkuasa sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menembak peranti itu, walaupun sebelum ini, wujud kebimbangan tindakan itu amat berbahaya kerana ancaman peluru sesat.

Penutupan lapangan terbang itu menyebabkan puluhan ribu penumpang terkandas.

Kementerian Pertahanan turut menempatkan pasukan tentera dan peralatan khas di lapangan terbang Gatwick bagi membantu pasukan polis Sussex. - AFP

Berita Harian X