Selasa, 8 Januari 2019 | 8:10am
- Gambar hiasan/mic.com

Tiga dari 10 wanita Amerika didera kerana perancang keluarga

LONDON: Sekurang-kurangnya tiga daripada 10 wanita yang mengamalkan perancang keluarga di Amerika Syarikat didera pasangan masing-masing kerana memilih kaedah itu.

Kajian oleh jurnal Kesihatan Reproduktif & Seksual BMJ mendapati, golongan terbabit mengalami penderaan kerana ditekan secara emosi, menerima ugutan untuk mensabotaj kaedah perancang keluarga diamalkan dan keganasan jika tidak mematuhi kehendak pasangan masing-masing.

Ketua Pengarah Profesor Sam Rowlands berkata, ia adalah satu perkara yang masih tidak boleh diterima secara meluas.

“Kaedah perancangan keluarga tidak seharusnya dicemari keganasan tetapi nampaknya ia tetap berlaku khususnya membabitkan pasangan intim masing-masing,” katanya.

Kawalan ke atas perancangan keluarga sekian lama sudah diiktiraf sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia dan pakar berkata, kemampuan membendung kelahiran tidak diingini memberi peluang kepada golongan wanita untuk mendapat lebih akses dalam pendidikan dan pekerjaan, sekali gus memecahkan rantaian kemiskinan.

Kajian itu bagaimanapun mendapati, kekerasan terhadap wanita, lazimnya oleh pasangan lelaki masih satu perkara yang berlaku dengan meluas.

Menurut jurnal terbabit, kekerasan susulan penggunaan perancang keluarga ditakrifkan sebagai pelbagai tindakan yang memberi kesan terhadap keupayaan dan hak wanita ke atas diri mereka dan pilihan perancangan keluarga masing-masing.

Ia mencakupi penderaan emosi dan ugutan untuk membocorkan kondom, membuang pil perancang atau menggunakan teknik dikenali sebagai ‘stealthing’ iaitu pasangan lelaki menanggalkan kondom secara rahsia ketika melakukan hubungan kelamin tanpa kerelaan pasangan. - Reuters

Berita Harian X