Jumaat, 11 Januari 2019 | 8:13pm

Poland tangkap ahli perniagaan China disyaki pengintip

WARSAW: Poland menangkap seorang ahli perniagaan China yang disyaki mengintip untuk China, dengan media tempatan mengenal pasti beliau sebagai pengarah gergasi teknologi China, Huawei Technologies Co Ltd.

Pengumuman dibuat beberapa minggu selepas Kanada menangkap timbalan presiden Huawei, Meng Wanzhou, yang dituduh melanggar sekatan ke atas Iran.

Huawei juga berhadapan pengawasan yang semakin memuncak berhubung dakwaan kaitan dengan perkhidmatan perisikan China.

Negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan Jepun menghalang Huawei daripada membina rangkaian internet masa depan yang amat pantas, 5G.

Seorang lelaki Poland juga ditangkap atas dakwaan mengintip bersama-sama rakyat China ‘iaitu ahli perniagaan yang bekerja dengan firma telekomunikasi penting’, timbalan ketua perkhidmatan khas Poland, Maciej Wasik, dipetik sebagai berkata oleh agensi berita PAP.

Sementara itu, China menyatakan ia ‘amat kecewa’ dengan laporan penangkapan pekerja Huawei itu.

Dalam reaksi kepada pertanyaan mengenai laporan berkenaan, Kementerian Luar China menggesa ‘negara berkenaan’ memastikan hak sah individu yang terbabit dan mengendalikan kes itu dengan adil dan mengikut undang-undang. — AFP/Reuters

Berita Harian X