Selasa, 22 Januari 2019 | 11:39pm
PENYERANG Juventus, Cristiano Ronaldo (tengah) keluar dari mahkamah kerana didakwa melakukan penipuan cukai ketika masih beraksi bersama Real Madrid. - Foto AFP
PENYERANG Juventus, Cristiano Ronaldo (tengah) keluar dari mahkamah kerana didakwa melakukan penipuan cukai ketika masih beraksi bersama Real Madrid. - Foto AFP

Terbabit penipuan cukai, Ronaldo disaman RM16.8 juta

MADRID : Bintang handalan Juventus, Cristiano Ronaldo terlepas dari hukuman penjara hari ini namun diarahkan oleh mahkamah Sepanyol untuk membayar denda berjumlah 3.57 juta euro (RM16.8 juta) kerana melakukan penipuan cukai ketika masih beraksi bersama Real Madrid.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun ke atas beliau tetapi dikurangkan serta merta kepada denda berjumlah 365,000 euro (RM1.7 juta) yang ditambah kepada denda sedia ada sebanyak 3.2 juta euro (RM15 juta).

Jurucakap mahkamah berkata, beliau tidak pasti jika denda itu adalah tambahan kepada 18.8 juta euro (RM88.3 juta) yang perlu dibayar pemain pujaan ramai itu kepada lembaga cukai Sepanyol, seperti perjanjian dimeterai bersama peguam Ronaldo, Jun lalu.

Ronaldo yang menyertai Juventus tahun lalu kembali ke Madrid bagi menghadiri sesi mahkamah selama 40 minit itu dan mendengar dengan tenang keputusan diberikan hakim.

“Saya dalam keadaan baik,” kata pemenang lima kali Ballon d’Or itu kepada kumpulan wartawan di luar bangunan mahkamah di timur laut Madrid sejurus selepas sesi berkenaan.

Beliau turut dilihat menandatangani beberapa autograf sebelum beredar dengan menaiki sebuah van berwarna hitam.

Mahkamah enggan menerima permohonan Ronaldo untuk menghadiri sesi itu menerusi video atau memasuki bangunan menggunakan kereta bagi mengelakkan tumpuan orang ramai.

Ronaldo, 30, memberikan senyum lebar ketika hadir ke mahkamah dan kelihatan segak mengenakan sepasang seluar hitam, baju berkolar tinggi ‘turtleneck’ dan kaca mata hitam, sambil memegang tangan teman wanitanya, Georgina Rodriguez. - AFP

Berita Harian X