Rabu, 23 Januari 2019 | 12:12am
PESAWAT Aeroflot terpaksa mendarat di bandar Khanty - Mansiysk.
PESAWAT Aeroflot terpaksa mendarat di bandar Khanty - Mansiysk.

Penumpang mabuk desak pesawat ubah haluan ditahan

MOSCOW : Seorang penumpang yang mabuk dalam satu penerbangan domestik memaksa pesawat itu mengubah haluan ke Afghanistan, menyebabkan juruterbang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Siberia, hari ini.

Pesawat Aeroflot itu yang sedang dalam perjalanan dari Surgut di barat Siberia ke Moscow terpaksa mendarat di bandar Khanty - Mansiysk.

Jawatankuasa Siasatan Russia berkata, lelaki tidak dikenali itu berada dalam keadaan mabuk.

Dia ditahan sebaik pesawat itu berjaya mendarat dengan selamat di Khanty - Mansiysk yang terletak 2,600 kilometer di timur Moscow.

Menurut penyiasat, siasatan jenayah sedang dilakukan susulan kejadian.

“Suspek mendakwa memiliki senjata dan cuba memecah masuk ke dalam kokpit semasa penerbangan sebelum mendesak pesawat mengubah haluan.

“Kapten pesawat membuat keputusan untuk melakukan pendaratan kecemasan di Khanty - Mansiysk,” kata penyiasat menerusi satu kenyataan.

Media Russia menyiarkan rakaman video menunjukkan seorang lelaki ditahan sekumpulan pengawal bertopeng yang lengkap bersenjata di dalam pesawat itu. - AFP

Berita Harian X