Khamis, 24 Januari 2019 | 4:38pm
Badan kebajikan The Prince’s Trust, diasaskan Charles pada 1976 untuk membantu golongan muda kurang bernasib baik dan menerima sumbangan £490,000 (RM2.65 juta) daripada Huawei sejak 2007. -Foto Agensi

Badan kebajikan Putera Charles henti terima sumbangan Huawei

LONDON: Badan kebajikan belia diasaskan Putera Charles, pewaris takhta diraja Britain berkata, ia tidak akan menerima mana-mana sumbangan baharu daripada Huawei Technologies (Huawei) berikutan kebimbangan umum.

Pengumuman itu dianggap tanda terbaharu ketegangan dalam satu daripada pasaran terbesar syarikat China.

Huawei adalah pembekal utama peralatan jalur lebar dan rangkaian mudah alih di Britain, namun pihak berkuasa memberi amaran, teknologinya mendedahkan rangkaian itu kepada risiko keselamatan baharu.

Syarikat itu juga diawasi secara meluas di Amerika Syarikat (AS), Australia, New Zealand dan Jepun berhubung kebimbangan ia mungkin membantu pengintipan kerajaan China.

Huawei berkata, ia adalah syarikat persendirian bukan di bawah kawalan kerajaan dan tidak tertakluk kepada undang-undang keselamatan China di luar negara.

Badan kebajikan The Prince’s Trust, diasaskan Charles pada 1976 untuk membantu golongan muda kurang bernasib baik dan menerima sumbangan £490,000 (RM2.65 juta) daripada Huawei sejak 2007.

“Ketika ini, kami tidak menerima sumbangan baharu daripada Huawei berikutan kebimbangan orang awam. Sumbangan akan datang akan terus dikaji oleh Jawatankuasa Etika Pengumpulan Dana,” katanya dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, Universiti Oxford berkata, ia berhenti menerima pembiayaan daripada Huawei berikutan kebimbangan umum. -Reuters

Berita Harian X