Rabu, 27 Februari 2019 | 9:55am
Kira-kira 385,000 penduduk seluruh dunia meninggal dunia lebih awal pada 2015 susulan pencemaran udara disebabkan pembebasan ekzos kenderaan. - Foto AFP

Diesel punca 50 peratus kematian akibat pencemaran udara

FRANKFURT: Kira-kira 385,000 penduduk seluruh dunia meninggal dunia lebih awal pada 2015 susulan pencemaran udara disebabkan pembebasan ekzos kenderaan, menurut kajian dari Amerika Syarikat hari ini, yang menyatakan enjin diesel sebagai punca.

Kenderaan diesel bertanggungjawab di atas 47 peratus kematian, kata kajian, tetapi perangkaan meningkat mencecah 66 peratus di Perancis, Jerman, Itali dan India yang menyaksikan diesel merangkumi sebahagian besar kereta di jalan raya.

Kajian dilakukan penyelidikan Majlis Pengangkutan Bersih Antarabangsa (ICCT), kumpulan bukan kerajaan yang mendedahkan skandal penipuan pembebasan diesel (dieselgate) oleh Volkswagen pada 2015 dan dua universiti AS.

“Beban kesihatan awam yang tinggi akibat penggunaan kenderaan diesel di Eropah menggariskan keperluan bagi piawaian pembebasan berkelas dunia diiringi dengan pematuhan dan penguat kuasaan,” kata penulis bersama ICCT, Joshua Miller.

Dalam kajian meluas, penyelidik meneliti pembebasan daripada kereta, trak, bas industri perkapalan selain mesin pertanian dan pembinaan menggunakan diesel dan yang tidak, dan impak kepada kesihatan.

Mereka mendapati sektor pengangkutan global bertanggungjawab bagi 11 peratus daripada 3.4 juta kematian lebih awal setiap tahun disebabkan pencemaran zarah halus (PM2.5) dan pendedahan kepada ozon.

Kos bebanan kesihatan disebabkan pencemaran kenderaan, yang dikaitkan dengan penyakit paru-paru dan jantung, angin ahmar dan diabetes, meningkat kepada AS$1 trilion (RM4.07 trilion) pada 2015.

Di China sahaja, seramai 114,000 penduduk maut akibat ekzos kenderaan tahun berkenaan, tetapi masih cuma merangkumi 10 peratus daripada semua kematian yang dikaitkan dengan pencemaran udara di negara itu.

Amerika Syarikat menyaksikan 22,000 kematian akibat pencemaran pengangkutan, daripada itu 43 peratus dikaitkan dengan diesel.

Sementara India merekodkan 74,000 kematian lebih awal daripada ekzos kenderaan, berbanding 13,000 di Jerman, 7,800 di Itali dan 6,400 di Perancis. — AFP

Berita Harian X