Khamis, 18 April 2019 | 7:19am
Bas yang dinaiki 55 pelancong dari Jerman selepas terbabas di kawasan kediaman di pulau Madeira, Portugal. Foto AFP
Bas yang dinaiki 55 pelancong dari Jerman selepas terbabas di kawasan kediaman di pulau Madeira, Portugal. Foto AFP

29 pelancong Jerman maut di Portugal

LISBON: Sekurang-kurangnya 29 pelancong, sebahagian besarnya warga Jerman terbunuh, manakala 27 lagi cedera, selepas bas yang mereka naiki terbabas di pulau Madeira, di sini, semalam.

Menurut Datuk Bandar Canido, Filipe Sousa, bas yang membawa 55 penumpang dan seorang pemandu pelancong, dilaporkan terbalik di kawasan kediaman di Canico pada jam 6.30 petang (waktu tempatan).

Rakaman video yang disiarkan di televisyen menunjukkan imej bas terbabit di sebuah jalan kecil sambil dikelilingi pasukan penyelamat.

Agensi berita Portugal, Lusa berkata, pemandu bas berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaan itu ketika melalui jalan sempit, mengakibatkan ia terbabas lalu terbalik berhampiran sebuah rumah.

“Saya tidak dapat menggambarkan apa yang berlaku. Saya juga tidak sanggup untuk melihat penderitaan yang ditanggung mangsa,” kata Sousa kepada SIC TV.

Beliau berkata, kesemua penumpang bas itu adalah warga Jerman, tetapi tidak menolak kemungkinan pejalan kaki antara mangsa kejadian berkenaan.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera sudah dibawa ke sebuah hospital di Funchal, Madeira.

Sementara itu, pegawai pertahanan am wilayah berkata, mangsa yang terbabit berusia antara 40 hingga 50 tahun.

“Terdapat sebuah lagi bas yang membawa pelancong Jerman dalam kumpulan yang sama, tetapi mereka tidak terbabit dalam kemalangan itu,” katanya. - Reuters

Berita Harian X